- Nur Sarina binti Khairruddin
- IKTBN Alor Gajah
- Hits: 12
KEM PERDANA MPP ILKBS ZON SELATAN PERKASA KEPEMIMPINAN PELAJAR
KAMPAR, 14 Jun 2026 – Kem Perdana Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Zon Selatan Tahun 2026 berjaya menghimpunkan barisan pemimpin pelajar bagi memperkukuhkan kemahiran kepimpinan dan pembangunan sahsiah masing-masing.
Program yang berlangsung selama empat hari tiga malam di Kompleks Rakan Muda Kampar, Perak ini disertai seramai 87 orang pelajar. Mereka terdiri daripada perwakilan IKTBN Alor Gajah, IKTBN Chembong, IKTBN Pagoh, IKBN Bandar Penawar, dan IKBN Miri. Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Pengarah IKTBN Alor Gajah, Puan Hajjah Nor Azah binti Ahmad Dahalan yang hadir mewakili Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan kepentingan platform sedemikian dalam melahirkan pemimpin pelajar yang berintegriti, berdaya saing, serta mampu bertindak sebagai agen perubahan di institusi masing-masing. Beliau turut menyeru para peserta agar memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk memperkasakan pengurusan organisasi melalui jalinan kerjasama dengan MPP di IPTA atau ILKA lain.
Sepanjang kem berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul intensif termasuk slot kepimpinan, teknik komunikasi berkesan, pengurusan organisasi, pembangunan personaliti, dan aktiviti kerja berpasukan. Kesemua modul ini dikendalikan oleh barisan penceramah serta fasilitator yang berpengalaman luas.
Penganjuran program impak tinggi ini diharap dapat melahirkan barisan pemimpin pelajar ILKBS yang berkualiti, berwibawa, dan bersedia menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan.
