IKTBN ALOR GAJAH PROMOSI KEMASUKAN BELIA SEMPENA PROGRAM KIBAR MELAKA 2026

    IKTBN ALOR GAJAH PROMOSI KEMASUKAN BELIA SEMPENA PROGRAM KIBAR MELAKA 2026

    AYER MOLEK | 13 Jun 2026 – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah mengambil inisiatif mendekati masyarakat akar umbi dengan mempromosikan pelbagai program pengajian sempena Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Melaka 2026 yang berlangsung di Kampung Paya Redan, di sini hari ini.
    Kehadiran IKTBN Alor Gajah pada program tersebut bertujuan mendedahkan golongan belia setempat kepada peluang latihan teknikal dan vokasional (TVET) melalui pelbagai pengisian menarik, termasuk hebahan kemasukan pelajar menerusi sistem UPTVET.

    Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari turut meluangkan masa menyantuni reruai pameran interaktif IKTBN Alor Gajah. Dalam lawatan tersebut, beliau menzahirkan hasrat dan objektif kementerian untuk melihat Institusi Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) terus cemerlang, selain memacu IKTBN Alor Gajah ke tahap yang lebih tinggi menerusi jalinan kerjasama industri yang lebih kukuh.

    Selain kaunter promosi pengajian arus perdana, IKTBN Alor Gajah turut mengetengahkan Program Belia Berkeperluan Khas & Autisme, Kursus Separuh Masa dalam bidang Elektrik, serta program Future Y-Skills bagi memperkasakan kemahiran digital belia.

    Program yang berpusat di Dewan Haji Katimin itu turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) Negeri Melaka, En. Zailani Siran, Pengarah JBSN Johor, En. Zurihanmi Zakariya, serta ratusan belia dan penduduk setempat yang hadir memberikan sokongan.
    Menerusi penglibatan aktif ini, IKTBN Alor Gajah terus komited merealisasikan agenda menjadikan TVET sebagai pilihan utama kerjaya dalam melahirkan modal insan tempatan yang berkemahiran tinggi.

     

    Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Alor Gajah
    KM 34, Jalan Masjid Tanah,
    78300 Masjid Tanah, Melaka
    Malaysia

    No Tel : +606-385 1255
    Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.