SELANDAR, 22 Sept – Seramai 40 orang peserta telah menghadiri Kursus Tatacara Pelupusan Aset Kerajaan anjuran Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah yang diadakan di ADTEC JTM Kampus Selandar, di sini hari ini. Kursus intensif yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu memberi tumpuan khusus kepada pengisian berkaitan tatacara dan pengurusan pelupusan aset kerajaan secara teratur, cekap, serta mematuhi peraturan kewangan yang telah ditetapkan.
Sesi perkongsian ilmu dan kepakaran dalam program tersebut telah dikendalikan oleh Puan Hasnizah dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertindak sebagai penceramah jemputan. Sepanjang sesi berlangsung, para peserta amat aktif mengutarakan pelbagai maklum balas serta membincangkan senario sebenar yang dihadapi di organisasi masing-masing.
Pengarah IKTBN Alor Gajah, Puan Nor Azah Binti Ahmad Dahalan ketika menyampaikan ucapan penutup mengharapkan agar penganjuran kursus ini dapat melonjakkan lagi tahap kefahaman serta kompetensi setiap peserta. Langkah ini penting bagi memastikan proses pengurusan pelupusan aset kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, telus, dan berintegriti tinggi. Turut hadir memberikan sokongan dalam majlis penutupan tersebut ialah Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan ADTEC JTM Kampus Selandar Melaka, Encik Sudirman Bin Suratin.
