- Nur Sarina binti Khairruddin
- IKTBN Alor Gajah
- Hits: 41
TVET Inklusif: IKTBN Alor Gajah Anjur Temuduga Khas Belia Autisme dan Berkeperluan Khas
ALOR GAJAH — Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah telah melaksanakan sesi temuduga terbuka pengambilan pelajar baharu bagi Program Latihan Kemahiran Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas Sesi 02/2026, baru-baru ini.
Sesi temuduga tersebut telah berlangsung dengan jayanya pada Khamis, 3 September lalu bertempat di Electronic Convention Center (ECC), IKTBN Alor Gajah.
Modul Asas Pastri, Barista dan Keusahawanan
Program latihan yang dirangka khas ini bakal dilaksanakan dalam tempoh enam bulan pembelajaran. Sepanjang tempoh berkenaan, para belia inklusiviti ini akan didedahkan dengan modul asas penyediaan pastri serta kemahiran barista, di samping penerapan modul keusahawanan bagi membantu mereka berdikari pada masa hadapan.
Sesi temuduga pengambilan tersebut telah dikendalikan oleh Pn Syairatul Ashikin dan En Effendy Sheikh Mohd Said, di bawah penyelarasan Ketua Jabatan Hospitaliti, En. Hairul Anuar Zakariah.
Turut hadir bagi memantau kelancaran program serta menyantuni ibu bapa dan calon yang hadir ialah Pn. Surinah Binti Siron, Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan IKTBN Alor Gajah.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dalam memperkasakan sistem pendidikan TVET yang inklusif, sekali gus membuka peluang saksama kepada golongan berkeperluan khas untuk menguasai kemahiran pasaran industri.
