Bukit Mertajam, 3 April 2026 — Satu lawatan rasmi daripada Sekolah Model Khas Redang Panjang, Ijok, Batu Kurau telah diadakan ke Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam baru-baru ini.
Lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar, khususnya dalam bidang elektrik, di samping membuka minda mereka terhadap peluang pendidikan dan latihan kemahiran yang ditawarkan oleh institusi berkenaan.
Seramai 20 orang pelajar bersama dua orang guru pengiring telah menyertai program ini. Sepanjang lawatan, para pelajar telah diberikan taklimat berkaitan kursus-kursus yang ditawarkan serta berpeluang melihat sendiri fasiliti dan suasana pembelajaran di IKTBN.
Program ini turut dikendalikan oleh dua pegawai IKTBN Bukit Mertajam, iaitu Puan Cahaya dan Encik Nakia, yang berkongsi ilmu serta pengalaman bagi memberi gambaran jelas tentang laluan kerjaya dalam bidang kemahiran.
Pihak penganjur berharap agar lawatan seumpama ini dapat memberi inspirasi dan menyuntik semangat kepada para pelajar untuk merancang masa depan dalam bidang kemahiran yang semakin mendapat permintaan tinggi.