- Jamaluddin Syamsuddin
- IKTBN Bukit Mertajam
- Hits: 475
Majlis Pelancaran EKSA IKTBN Bukit Mertajam 2025
BUKIT MERTAJAM, 30 September 2025 — Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam terus memperkukuh budaya kerja cemerlang apabila menganjurkan Majlis Pelancaran Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) IKTBN Bukit Mertajam 2025, yang berlangsung pada jam 9.30 pagi di Dewan Perdana, IKTBN Bukit Mertajam.
Majlis penuh signifikan itu telah dirasmikan oleh Pengarah IKTBN Bukit Mertajam, Puan Hajjah Junita binti Mohamed Ali, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pihak pengurusan institusi dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selesa, bersih dan kondusif demi kesejahteraan kakitangan serta pelajar.
Sebagai pengisian utama program, aktiviti gotong-royong secara menyeluruh telah dilaksanakan sepanjang hari bagi menyemarakkan budaya kebersihan, disiplin dan kerjasama dalam kalangan warga institusi. Pada sesi pagi, kakitangan IKTBN Bukit Mertajam terlibat secara langsung dalam kerja-kerja pembersihan di kawasan bengkel masing-masing. Manakala pada sesi petang, pelajar digerakkan untuk membersihkan kawasan sekitar asrama serta padang bola institusi.
Pelaksanaan EKSA di IKTBN Bukit Mertajam membawa beberapa matlamat utama, antaranya mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, selamat dan selesa, meningkatkan kualiti serta produktiviti warga kerja, di samping menerapkan budaya amalan 5S yang diperkasakan selaras dengan keperluan semasa sektor awam dan industri. Selain itu, inisiatif ini turut bertujuan meningkatkan imej profesional institusi di mata masyarakat serta pihak industri, selain melengkapkan pelajar dengan kemahiran pengurusan persekitaran kerja yang menepati standard industri.
Dengan pelaksanaan EKSA ini, IKTBN Bukit Mertajam bukan sahaja memperkukuh daya saing institusi sebagai pusat latihan kemahiran berprestij, malah memastikan para pelajarnya lebih bersedia untuk menghadapi cabaran sebenar dunia pekerjaan.
Majlis ini selari dengan aspirasi institusi yang menjadikan EKSA sebagai pemangkin kepada pembentukan persekitaran kerja yang kondusif, produktif dan profesional, seiring slogan program, “EKSA Pemangkin Persekitaran Kondusif, Produktif dan Profesional.”
