- Din Syamsuddin
- IKTBN Bukit Mertajam
- Hits: 17
PELAJAR IKTBN BUKIT MERTAJAM TIMBA PENGALAMAN BERHARGA DI PERTANDINGAN SELANGOR ADVANCED SKILLS (SAS'26)
BUKIT MERTAJAM, 16 NOVEMBER 2026 — Dua orang pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam telah menggalas cabaran institut dalam Pertandingan Selangor Advanced Skills (SAS'26) bagi bidang Mekatronik yang berlangsung dari 11 hingga 14 November 2026 bertempat di Setia City Convention Centre, Shah Alam, Selangor.
Penyertaan IKTBN Bukit Mertajam dalam pertandingan kemahiran tersebut diwakili oleh Sdr. Muhammad Amin Wafi bin Yasdi dan Sdr. Mohammad Amiruddin bin Alias, dengan bimbingan serta seliaan jurulatih institut, Puan Norhayati binti Abu Bakar.
Walaupun kontinjen institut belum berjaya membawa pulang sebarang pingat pada edisi kali ini, penyertaan di pentas persaingan kemahiran berimpak tinggi itu telah memberikan pendedahan teknikal, ilmu pengetahuan, serta pengalaman berharga kepada para peserta dalam mengukur tahap kompetensi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) masing-masing.
Pihak pengurusan dan seluruh warga IKTBN Bukit Mertajam merakamkan setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada para peserta serta jurulatih atas keberanian dan komitmen jitu dalam membawa nama institut. Pengalaman yang diperoleh ini diharapkan dapat menjadi pembakar semangat untuk terus memperbaiki kelemahan, memperkukuh penguasaan kemahiran, dan bangkit melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
