BUKIT MERTAJAM, 13 NOVEMBER 2026 — Tiga orang warga kerja Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam telah menerima pengiktirafan rasmi menerusi Majlis Pentauliahan Profesionalisme Kerja Belia Kali Ke-3 Tahun 2026 yang berlangsung di Royale Chulan, Seremban, Negeri Sembilan pada 11 November 2026.
Penerima pentauliahan daripada institut ini terdiri daripada Pegawai Belia dan Sukan (S10), Encik Ebenezer a/l Victor Nimbalker, serta dua orang Pembantu Belia dan Sukan (S2), iaitu Puan Halimatun binti Abdul Azid @ Abdul Aziz dan Puan Sarirah binti Abu Bakar. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Taufiq Johari. Turut hadir meraikan para penerima ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBhg. Dato' Rahimi Ismail, serta Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB) KBS, YBrs. Encik Mohd Sukri Ismail.
Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan terhadap tahap kepakaran serta kecekapan warga kerja dalam bidang kerja belia. Pencapaian ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan profesionalisme, kompetensi, dan kredibiliti pegawai dalam melaksanakan tanggungjawab, sekali gus memperkasakan agenda pembangunan belia negara secara mampan.
Pengurusan dan seluruh warga IKTBN Bukit Mertajam merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada para penerima atas kejayaan membanggakan ini, termasuk semua pegawai dan kakitangan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) yang turut menerima pentauliahan. Semoga pengiktirafan ini terus menyuntik semangat dedikasi, integriti, dan komitmen jitu dalam memacu kecemerlangan pembangunan kemahiran belia negara.
