KUALA LUMPUR, 2 Julai – Kepakaran tenaga pengajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong dalam bidang teknologi automotif terus mendapat pengiktirafan apabila Encik Mohd Yazid bin Aziz dijemput sebagai pembentang dalam Sesi Perkongsian Kepakaran sempena Persidangan Pengajar TVET Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Hotel Wyndham Grand Bangsar, di sini.
Persidangan anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu menghimpunkan kira-kira 1,000 orang pengajar daripada institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sektor awam dan swasta di seluruh negara. Mengangkat tema "(R)Evolusi TVET: Memperkasa Kompetensi, Memacu Pertumbuhan Negara", persidangan tersebut menjadi platform penting untuk berkongsi amalan terbaik, inovasi dan perkembangan terkini dalam bidang latihan kemahiran.
Berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri automotif serta pengkhususan dalam teknologi kenderaan hibrid (Hybrid Electric Vehicle - HEV) dan kenderaan elektrik (Battery Electric Vehicle - BEV) sejak 2012, beliau membentangkan kertas kerja bertajuk "Impak LSI China Terhadap Kompetensi Pengajar dan Pembelajaran Pelajar TVET (Bidang EV)".
Pembentangan itu memberi fokus kepada perkembangan pesat industri kenderaan elektrik di China serta implikasinya terhadap keperluan meningkatkan kompetensi tenaga pengajar dan pendekatan pembelajaran dalam bidang TVET. Perkongsian tersebut turut menekankan kepentingan institusi latihan menyesuaikan kurikulum dan kaedah pengajaran agar selari dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri global.
Penyertaan pengajar program Kenderaan Elektrik dan Hidbrid IKTBN Chembong ini bukan sahaja mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran yang dimiliki, malah membuktikan komitmen dalam memperkasa budaya pembelajaran sepanjang hayat dan menyumbang kepada pembangunan ekosistem TVET negara.
IKTBN Chembong menzahirkan penghargaan atas pencapaian tersebut dan berharap perkongsian ilmu yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada komuniti TVET, sekali gus menyokong usaha melahirkan tenaga pengajar dan graduan yang kompeten, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran industri masa hadapan.
