- Mohamad Zohari
- IKTBN Chembong
- Hits: 28
Pasukan Robotik IKTBN Chembong Raih Dua Podium di Y'ROBOC 2026
BUKIT MERTAJAM, 5 Julai – Team Robotik Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong sekali lagi membuktikan keupayaan mereka di pentas pertandingan robotik kebangsaan apabila berjaya meraih dua kedudukan podium dalam pertandingan Y'ROBOC 2026 yang berlangsung di IKTBN Bukit Mertajam dari 3 hingga 5 Julai lalu.
Pasukan Panah Beracun muncul naib juara bagi Kategori Robot 16kg Multibot, manakala pasukan Bonggo meraih tempat ketiga dalam Kategori 8kg Rumble. Pencapaian tersebut menyerlahkan kemampuan pelajar IKTBN Chembong bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik dari institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara.
Dalam pertandingan itu, IKTBN Chembong menghantar lima penyertaan merangkumi beberapa kategori robotik. Selain dua pasukan yang berjaya menaiki podium, pasukan Ligat Bona mara sehingga ke peringkat suku akhir bagi kategori Robot Soccer sebelum tewas kepada IKTBN Sepang. Pasukan Laoban pula menamatkan saingan di peringkat suku akhir bagi kategori 8kg Rumble selepas berdepan Team Tiger dari TVET Johor, manakala pasukan Tumpo menamatkan cabaran di peringkat kumpulan bagi kategori 16kg Multibot.
Walaupun tidak semua pasukan berjaya melangkah ke pentas akhir, setiap penyertaan memberi pengalaman berharga kepada para peserta dalam mengasah kemahiran teknikal, pemikiran kritis serta semangat kerja berpasukan. Pengalaman bertanding di peringkat kebangsaan turut menjadi platform penting bagi meningkatkan keyakinan pelajar untuk terus berinovasi dalam bidang robotik dan teknologi.
Kejayaan yang diraih merupakan hasil komitmen tinggi para pelajar dengan bimbingan berterusan daripada tenaga pengajar IKTBN Chembong dalam melahirkan bakat yang berdaya saing. Penyertaan aktif dalam pertandingan seumpama ini selari dengan aspirasi institusi untuk memperkukuh budaya inovasi serta memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemangkin pembangunan modal insan negara.
Pihak IKTBN Chembong merakamkan penghargaan kepada semua peserta, jurulatih dan tenaga pengajar yang telah menunjukkan dedikasi sepanjang pertandingan. Diharapkan pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa hadapan serta terus mengharumkan nama institusi di pentas kebangsaan dan antarabangsa.
