- Mohamad Zohari
- IKTBN Chembong
- Hits: 24
Rangers Technology Buka Peluang Kerjaya, Sasar Graduan TVET Berkualiti
CHEMBONG, 2 Julai – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan menerusi penganjuran Taklimat Kerjaya dan Sesi Temuduga bersama Rangers Technology Sdn. Bhd. yang berlangsung di Bilik Seminar institut berkenaan.
Program tersebut melibatkan pelajar daripada Program Teknologi Kenderaan Motor dan Program Body Repair sebagai platform memperkenalkan peluang kerjaya serta menghubungkan bakal graduan dengan pihak industri.
Sepanjang sesi taklimat, para peserta diberikan penerangan mengenai latar belakang syarikat, skop perkhidmatan, budaya kerja dan prospek pembangunan kerjaya yang ditawarkan. Turut dikongsikan ialah pelbagai kemudahan serta faedah yang disediakan kepada pekerja, termasuk elaun, kemudahan tempat tinggal dan pakej kebajikan yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan warga kerja.
Selepas sesi taklimat, para pelajar berpeluang menyertai sesi temuduga yang dikendalikan oleh wakil-wakil Rangers Technology Sdn. Bhd. bagi mengenal pasti calon yang berpotensi untuk menyertai syarikat sebaik sahaja menamatkan pengajian. Pihak syarikat turut memaklumkan bahawa keputusan temuduga akan diumumkan kepada calon yang berjaya dalam masa terdekat.
Delegasi Rangers Technology Sdn. Bhd. diketuai oleh Ketua Operasi, Mohd Asrunizam Alias, bersama Executive Operation, Nurul Ain Abd. Kadir; Assistant Engineer, Muhammad Hafizuddin Mazlan; Technical Diagnostic, Hafiszal Minhat; dan Executive Network, Mustapha Kamal Aziz.
Penganjuran program seumpama ini mencerminkan komitmen IKTBN Chembong dalam memperkukuh hubungan strategik dengan industri serta memastikan para pelajar mendapat akses terus kepada peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang pengajian mereka. Inisiatif ini juga selari dengan usaha institusi untuk melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kompeten, berkualiti dan memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja.
IKTBN Chembong turut merakamkan penghargaan kepada Rangers Technology Sdn. Bhd. atas kesudian menjayakan program ini melalui perkongsian pengalaman, pendedahan industri dan penyediaan peluang kerjaya kepada para pelajar. Kerjasama erat antara institusi latihan dan pihak industri diharap dapat diteruskan demi memperkasa pembangunan modal insan negara.
