Pelajar Dalami Teknologi Kenderaan Komersial Melalui Lawatan Industri

    Pelajar Dalami Teknologi Kenderaan Komersial Melalui Lawatan Industri

    CHEMBONG, 1 Julai – Seramai 20 orang pelajar Semester Akhir Program Teknologi Kenderaan Perdagangan (TKP), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong menyertai lawatan industri ke Johor Bahru bagi memperkukuh pengetahuan serta pendedahan terhadap teknologi dan operasi sebenar industri kenderaan komersial.

    Program yang berlangsung pada 1 Julai itu disertai oleh empat orang pegawai pengiring iaitu En. Saiful Azhar, En. Najib Jaafar, En. Aiman Ghani dan En. Herman Anis.

    Lawatan tersebut bertujuan memberi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada para pelajar melalui pemerhatian terhadap amalan kerja, penggunaan teknologi terkini serta sistem pengurusan yang diamalkan oleh syarikat-syarikat dalam industri kenderaan perdagangan.

    Sepanjang program, para peserta telah mengadakan lawatan ke tiga buah syarikat utama, iaitu Diesel Truck, Traceprob Enterprise dan Tiong Nam Engineering. Kunjungan itu memberi peluang kepada pelajar untuk memahami dengan lebih mendalam aspek penyelenggaraan, operasi serta pengurusan kenderaan komersial yang menjadi antara tunjang kepada sektor logistik dan pengangkutan negara.

    Lawatan industri seumpama ini merupakan antara inisiatif IKTBN Chembong dalam memperkukuh pendekatan pembelajaran berasaskan industri, sekali gus memastikan graduan memiliki pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang selari dengan kehendak pasaran pekerjaan.

    Pihak IKTBN Chembong berharap program ini dapat memberi nilai tambah kepada pelajar sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan di samping terus memperkukuh hubungan strategik antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan pemain industri dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir yang berdaya saing.

    Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Chembong
    71300 Rembau,
    Negeri Sembilan Darul Khusus.

    No.telefon: 06-6857900
    No.faks: 06-6857989
    Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.