- Mohamad Zohari
- IKTBN Chembong
- Hits: 24
Perkukuh Jaringan Industri Melalui Kerjasama Strategik Bersama JPK dan NEXV Manufacturing
CHEMBONG, 30 Jun – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong terus memperluaskan jaringan kerjasama strategik apabila menghadiri sesi perbincangan bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Centre for Instructor and Advanced Skill Training (CIAST) serta NEXV Manufacturing Sdn. Bhd. yang berlangsung di premis syarikat berkenaan.
Delegasi NEXV Manufacturing Sdn. Bhd. diketuai oleh Pengarah syarikat, Mr. Khoo, bersama Ketua Jurutera, En. Badrul Hisham; Pengurus Pengeluaran, En. Saad; dan Pengurusan Sumber Manusia, Mahasree serta Pn. Shiha.
Sementara itu, pihak JPK, CIAST dan IKTBN Chembong diwakili oleh beberapa pegawai kanan termasuk Timbalan Pengarah Pembangunan dan Perancangan CIAST, Tn. Ts. Zamzuri Hassan; Timbalan Pengarah Pengurusan Kerjasama Strategik IKTBN Chembong, Ketua Cawangan Hal Ehwal Industri (KCHI), En. Md. Azhar Parlan, serta wakil-wakil daripada JPK, CIAST dan IKTBN Chembong yang terlibat dalam pembangunan latihan kemahiran negara.
Sesi dimulakan dengan pembentangan daripada pihak NEXV Manufacturing Sdn. Bhd., JPK dan CIAST yang memperincikan peranan, kepakaran serta potensi kolaborasi dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Perbincangan berlangsung secara konstruktif dengan memberi tumpuan kepada usaha mempererat hubungan antara institusi latihan kemahiran dan pihak industri.
Antara agenda utama yang dibincangkan termasuk cadangan kerjasama strategik antara semua pihak, perkongsian kepakaran teknikal dan teknologi terkini, pelaksanaan Program Accredited Dual Training (ADI) serta program perantisan bersama industri. Selain itu, peluang penempatan Industrial Attachment bagi tenaga pengajar dan pelajar, di samping kerjasama dalam pensijilan kompetensi serta pembangunan program latihan berasaskan keperluan industri turut menjadi fokus utama perbincangan.
Jalinan kerjasama ini dilihat mampu memperkukuh hubungan strategik antara institusi latihan kemahiran, agensi kerajaan dan sektor industri dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi kehendak pasaran semasa. Di samping itu, kolaborasi berterusan antara semua pihak dijangka dapat menyokong agenda pembangunan modal insan negara serta memperkasakan ekosistem TVET yang lebih dinamik, relevan dan berdaya saing.
