- Mohamad Zohari
- IKTBN Chembong
- Hits: 26
Pelajar IKTBN Chembong Dalami Teknologi EV Melalui Lawatan Industri
CHEMBONG, 29 Jun – Seramai 23 orang pelajar bersama tiga orang pengajar Program Sijil Teknologi Kenderaan Elektrik, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong telah menyertai lawatan industri ke Millennium Autobeyond Sdn. Bhd. pada 26 Jun lalu bagi meningkatkan kefahaman terhadap perkembangan teknologi kenderaan elektrik (EV).
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada keperluan silibus pembelajaran bagi memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai operasi sebenar industri automotif moden yang kini semakin tertumpu kepada teknologi mobiliti elektrik.
Sepanjang lawatan, para pelajar didedahkan kepada penggunaan teknologi terkini, proses kerja serta amalan standard industri yang diaplikasikan dalam pengurusan dan penyelenggaraan kenderaan elektrik. Pengalaman tersebut bukan sahaja memperkukuh pengetahuan teknikal, malah membantu meningkatkan keyakinan serta kesiapsiagaan mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Dalam masa yang sama, lawatan berkenaan turut membuka ruang kepada perbincangan awal bagi menjalin kerjasama strategik antara IKTBN Chembong dan BYD Sdn. Bhd., khususnya dalam menyediakan peluang penempatan latihan industri kepada para pelajar. Inisiatif itu dijangka dapat memperkukuh hubungan antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan pihak industri dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan sektor automotif masa kini.
Pihak IKTBN Chembong merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Millennium Autobeyond Sdn. Bhd. atas kesudian menerima kunjungan serta berkongsi pengalaman dan pengetahuan kepada para pelajar. Diharapkan jalinan kerjasama yang terjalin akan terus diperkukuh demi melahirkan graduan TVET yang kompeten, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran industri kenderaan elektrik yang berkembang pesat.
