TEMERLOH, 26 September – Seiring dengan inisiatif anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dijalankan secara serentak di seluruh negara, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh telah berjaya melaksanakan program Hari Cuci Malaysia 2026 peringkat institut pada Sabtu lalu. Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah IKTBN Temerloh, En. Azian bin Hussain.
Turut hadir memberikan sokongan dalam menjayakan kempen kesedaran sivik ini ialah Timbalan Pengarah Latihan IKTBN Temerloh, En. Muhamad Ezzas bin Abu Bakar, Penolong Pegawai Belia dan Sukan dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Temerloh, En. Azmi bin Othman, serta Penyelaras Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) IKTBN Temerloh, Cik Noor Haslinda binti Hanapi.
Lebih bermakna, program ini turut diangkat sebagai salah satu aktiviti rasmi di bawah Jawatankuasa EKSA IKTBN Temerloh. Ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan padu daripada barisan kakitangan, para pelajar, serta turut mendapat penglibatan aktif daripada pihak kontraktor pembersihan.
Aktiviti utama memfokuskan kepada kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh di sekitar kawasan institut dan asrama pelajar. Selain itu, para peserta turut bekerjasama memotong dahan-dahan pokok di sepanjang laluan jalan masuk utama ke institut bagi menjamin keselamatan lalu lintas dan menceriakan persekitaran.
Pelaksanaan program berskala nasional ini bukan sahaja bermatlamat untuk memastikan kebersihan persekitaran dan keceriaan landskap terpelihara selaras dengan amalan EKSA, malah ia berjaya memupuk semangat penyatuan, kesukarelawanan, dan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan warga IKTBN Temerloh.
