- Haszreen
- IKTBN Temerloh
- Hits: 19
IKTBN TEMERLOH DAN KUMPULAN BRIOLF/ROBERLO RANCANG 4 TERAS STRATEGIK, PACU KUALITI TVET AUTOMOTIF NEGARA
IKTBN TEMERLOH DAN KUMPULAN BRIOLF/ROBERLO RANCANG 4 TERAS STRATEGIK, PACU KUALITI TVET AUTOMOTIF NEGARA
TEMERLOH, 10 November 2026 | Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh memperkukuh jaringan industri antarabangsa menerusi Sesi Dialog Bersama Industri Siri ke 2 Tahun 2026 yang melibatkan perbincangan strategik bagi Program Penyemburan Cat & Pembaikan Kenderaan (G452-500-3:2019).
Sesi dialog berprestij ini dipengerusikan oleh Pengarah IKTBN Temerloh, Tn. Azian bin Hussain yang bertempat di Bilik Mesyuarat Utama institut. Pertemuan ini dihadiri oleh delegasi tertinggi Kumpulan Briolf/Roberlo yang diketuai oleh En. Kevin Andonegui (Pengurus Kawasan Asia Tenggara Briolf/Roberlo) bersama rakan pengedar eksklusif tempatan RMT Coatings.
IKTBN Temerloh Serlah Prestasi Cemerlang Graduan TVET
Dalam sesi pembentangan profil, IKTBN Temerloh yang beroperasi di kawasan seluas 100 ekar di Lanchang, Pahang, menonjolkan rekod prestasi institusi yang amat membanggakan. Program latihan automotif yang ditawarkan merangkumi peringkat Sijil, Sijil Lanjutan (Tahap 2-3) sehinggalah ke Diploma Teknologi Automotif Tahap 4.
Jurusan ini dikuasai oleh barisan tenaga pengajar mahir berpengalaman dan disokong oleh struktur fasiliti bengkel serba lengkap seperti ruang Auto Detailing, Spray Booth, dan Bengkel Penyemburan Cat Kenderaan. Keunggulan modul latihan ini terbukti apabila kadar kebolehpasaran graduan lulusan Sijil Lanjutan Teknologi Automotif (Penyemburan Cat) Tahap 3 mencecah 99.9% dengan purata pendapatan RM1,926.43. Kecemerlangan ini turut diiktiraf menerusi penerimaan Anugerah Pengurusan Latihan Terbaik ILKBS (2024 & 2025) serta Penarafan Tunggal Program TVET 5 Bintang pada Februari 2026.
Gandingan Kuasa Global dan Tempatan.
Sementara itu, sesi pengenalan profil syarikat memperlihatkan profil Kumpulan Briolf sebagai entiti perniagaan keluarga global terkemuka dalam bidang kimia khas yang memiliki 14 jenama dan beroperasi di lebih 120 buah negara. Pengukuhan pasaran domestik menyaksikan RMT Coatings kini bertindak sebagai pengimport tunggal dan eksklusif untuk jenama Roberlo di Malaysia dan Singapura bermula Jun 2026.
Rangka Kerja Kolaborasi Berimpak Tinggi
Bagi memacu masa depan program ini, sesi dialog secara dinamik telah memfokuskan perancangan strategik berteraskan 4 Teras Utama Kolaborasi:
1. Saluran Bakat & TVET: Menyediakan laluan pengambilan pekerja secara terus, penjajaran kurikulum diterajui industri, serta penempatan Latihan Industri berasaskan Kerja (WBL).
2. Pemindahan Teknologi & Ilmu: Pelaksanaan bengkel aplikasi lanjutan, jalinan perkongsian jenama global, dan akses kepada gerbang Penyelidikan & Pembangunan (R&D).
3. Pusat Bancuhan Setempat (One-Stop Mixing Centre): Mewujudkan hab teknikal setempat, sistem pemadanan warna automatik (automated color matching) serta pengoptimuman rantaian bekalan.
4. Pematuhan Keselamatan & DOSH: Penerapan piawaian keselamatan tempat kerja yang ketat, latihan pengurusan bahan kimia dan sasaran operasi sifar penalti.
Sesi perbincangan strategik ini diakhiri dengan aktiviti bergambar rasmi dan delegasi seterusnya dibawa mengadakan lawatan kerja fizikal ke Bengkel 3 bagi meninjau kesesuaian ruang operasi serta fasiliti sedia ada. Kerjasama erat ini dijangka bakal meletakkan penanda aras baharu dalam melahirkan modal insan TVET automotif bertaraf dunia.
