Majlis Persaraan Sanjung Budi Lambaian Kasih
Suasana penuh syahdu dan bermakna menyelubungi Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh sempena Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih bagi meraikan persaraan Timbalan Pengarah Latihan, Encik Muhamad Ezzas bin Abu Bakar.
Majlis gilang-gemilang yang diadakan di Kafeteria institut yang dianjurkan sepenuhnya oleh Kelab Sukan dan Kebajikan IKTBN Temerloh sebagai tanda penghargaan dan penghormatan tertinggi atas khidmat bakti, dedikasi, serta komitmen tidak berbelah bahagi beliau sepanjang berkhidmat di institusi tersebut.
Sepanjang memegang portfolio Timbalan Pengarah Latihan, Encik Ezzas memainkan peranan penting dalam memperkukuh kurikulum kemahiran teknikal, memantapkan kebolehpasaran graduan TVET, serta memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan tenaga pengajar dan kakitangan sokongan.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian cenderamata kenang-kenangan daripada pelbagai Bahagian, Cawangan, serta Kelab Sukan dan Kebajikan IKTBN Temerloh, sebelum diakhiri dengan sesi jamuan makan tengah hari dan perarakan keluar simbolik (clock-out) bagi menandakan berakhirnya tugas rasmi beliau. Turut hadir bersama Encik Azian bin Hussain Pengarah IKTBN Temerloh, Puan Siti Aishah bt Mustafa Tim. Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan En. Mohd Faizal bin Abdul Salim Pengerusi Kelab KSK IKTBN Temerloh.
Seluruh warga kerja dan para pelajar IKTBN Temerloh mengucapkan selamat bersara kepada Encik Muhamad Ezzas bin Abu Bakar, diiringi doa agar beliau sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan dan kesejahteraan dalam fasa kehidupan yang baharu.
