- Haszreen
- IKTBN Temerloh
- Hits: 84
IKTBN TEMERLOH PERKUKUH SEMANGAT KEBERSAMAAN DAN KECEMERLANGAN WARGA INSTITUSI
TEMERLOH, 3 September 2026 – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh terus memperkukuh semangat kebersamaan, kecemerlangan dan komitmen warga institusi menerusi Majlis Perhimpunan Kakitangan Bersama Pelajar IKTBN Temerloh Bulan September 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna IKTBN Temerloh, hari ini.
Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Teknologi Elektrikal dan Mekanikal IKTBN Temerloh itu bermula pada jam 8.30 pagi dan menghimpunkan warga kerja serta pelajar IKTBN Temerloh. Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Allah Selamatkan Sultan Kami, diikuti bacaan ikrar dan doa.
Turut diadakan ialah tayangan video aktiviti IKTBN Temerloh sepanjang bulan Julai dan Ogos 2026, yang mengetengahkan pelbagai program, aktiviti serta pencapaian warga institusi.
Dalam amanatnya, YBrs. En. Azian bin Hussain, Pengarah IKTBN Temerloh, merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga institusi atas sokongan, komitmen dan usaha yang diberikan dalam menjayakan pelbagai aktiviti. Beliau turut menekankan kepentingan usaha berterusan semua fakulti, jabatan, cawangan dan bahagian dalam memperkukuh penjenamaan serta imej positif IKTBN Temerloh, di samping memastikan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sentiasa berkualiti.
Tuan Pengarah turut memberi penekanan terhadap aspek pemantapan pengurusan stor dan aset, pengurusan asrama dan dewan makan serta pematuhan amalan EKSA dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan pengurusan institusi dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
Majlis turut meraikan kejayaan warga dan pelajar menerusi penyampaian sijil anugerah khas peperiksaan terbaik (AKPT), sijil anugerah Pengarah bagi Sesi Peperiksaan Julai 2026, serta hadiah kepada para pemenang Pertandingan Inovasi PRO-PITCH 2026, IDEA’26 dan Ekspresi Bakat 2026.
Antara pencapaian yang diketengahkan ialah kejayaan pasukan IKTBN Temerloh dalam Pertandingan IDEA’26 yang meraih Johan Keseluruhan IPTA & ILK serta Johan Bidang Teknologi Elektrikal dan Elektronik IPTA & ILK, selain kejayaan dalam PRO-PITCH 2026 menerusi projek terbaik mengikut bidang.
Mengakhiri amanat, Tuan Pengarah menyeru seluruh warga IKTBN Temerloh agar terus berusaha, tidak mudah berputus asa dan memberikan yang terbaik dalam melaksanakan amanah, di samping sentiasa percaya kepada perancangan Allah SWT.
Majlis berakhir dalam suasana penuh semangat dan kebersamaan, sekali gus menjadi wadah untuk menghargai pencapaian warga institusi serta menyuntik motivasi kepada seluruh warga IKTBN Temerloh untuk terus melakar kejayaan dan kecemerlangan pada masa akan datang.
