16 Jun 2026, Raub - IKTBN Temerloh telah menerima jemputan untuk menyertai Karnival Kerjaya Peringkat Daerah Raub 2026 yang dianjurkan oleh FINCO dengan kerjasama MGKK Daerah Raub. Program ini bertujuan untuk membantu pelajar menerokai potensi diri, merancang masa depan dan mencipta kejayaan melalui pendedahan kepada pelbagai peluang kerjaya.
Seramai tiga orang pegawai IKTBN Temerloh telah hadir bagi menjayakan program ini. Ketua Cawangan CKSKK, Pn. Siti Aishah binti Mustafa bertindak sebagai penceramah Taklimat Kerjaya dalam sesi ketiga acara tersebut yang dijemput bagi menyampaikan perkongsian inspirasi kepada kira-kira 200–300 pelajar sekolah menengah sekitar daerah Raub.
Manakala dua lagi pegawai dari Cawangan Kerjasama Strategik (CKS) iaitu En. Azman bin Wok bersama Pn. Malissa Afnie binti Muhammad Ridzuan bertugas di booth pameran yang dibuka selepas sesi taklimat. Booth tersebut turut menerima kunjungan daripada pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Raub yang meluangkan masa meninjau bahan pameran serta berinteraksi dengan petugas, sekali gus memberi suntikan semangat dan penghargaan atas usaha yang dijalankan.
Program ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang dengan pengisian yang merangkumi sesi motivasi pagi, perkongsian halatuju pelajar bersama FINCO, taklimat kerjaya serta lawatan ke booth pameran. Keseluruhan pengisian ini dirangka seiring dengan tema dan aspirasi IKTBN Temerloh dalam memperkukuh peranan TVET sebagai laluan kerjaya masa depan yang berdaya saing, relevan dengan keperluan industri dan mampu melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
IKTBN Temerloh terus komited menyokong pembangunan kerjaya belia!
Terima kasih atas jemputan ke Karnival Kerjaya Daerah Raub 2026 di SMK Gali.
Bersama membina masa depan melalui TVET — Terokai Potensi, Rancang Masa Depan, Cipta Kejayaan!"
