- Haszreen
- IKTBN Temerloh
- Hits: 183
LAWATAN DARIPADA ADVANCE RETRO SOLUTION SDN. BHD. (ARS) BAGI TINJAUAN FASILITI ELECTRIC VEHICLE (EV) DI IKTBN TEMERLOH
LAWATAN DARIPADA ADVANCE RETRO SOLUTION SDN. BHD. (ARS) BAGI TINJAUAN FASILITI ELECTRIC VEHICLE (EV) DI IKTBN TEMERLOH
Temerloh, 11 Februari 2026 - Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh telah menerima kunjungan daripada Syarikat Advance Retro Solution Sdn. Bhd. (ARS) bagi tujuan tinjauan fasiliti Electric Vehicle (EV). Lawatan ini disertai oleh dua orang pegawai ARS yang hadir untuk meninjau kemudahan serta peralatan berkaitan teknologi EV yang terdapat di institut ini.
Ketibaan delegasi ARS, Encik Faizatulkhairi bin Jalal dan Puan Siti Athtiah binti Jahari telah disambut mesra oleh Ketua Jurusan Teknologi Penyelenggaraan Automotif (JTAP), Encik Syed Azman bin Tuan Temerang bersama beberapa orang pegawai jurusan tersebut. Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai peranan dan fungsi bengkel-bengkel di bawah Fakulti Automotif sebelum para tetamu dibawa melawat ke Bengkel 2 (JTAP) dan Bengkel 8 (JTAM).
Sepanjang lawatan, pegawai ARS berpeluang melihat secara dekat alat dan mesin yang digunakan dalam proses pengajaran serta latihan pelajar khususnya berkaitan teknologi penyelenggaraan kenderaan elektrik. Lawatan ini turut membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi kerjasama antara pihak industri dan institusi latihan kemahiran dalam memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir selaras dengan perkembangan teknologi automotif semasa.
Program lawatan ini diakhiri dengan sesi makan tengahari bersama pegawai-pegawai jurusan sebagai tanda mesra dan penghargaan. Hasil daripada kunjungan ini pihak ARS menyatakan minat untuk meneroka peluang kerjasama strategik dengan IKTBN Temerloh khususnya dalam aspek latihan industri, perkongsian kepakaran serta pembangunan fasiliti EV bagi melahirkan tenaga kerja yang lebih kompeten dan bersedia menghadapi cabaran industri automotif masa depan.
