MICROSOFT ELEVATE AI SIRI 2 ILKBS-IKTBN TEMERLOH
TEMERLOH, 3 MAC 2026 – Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar IKTBN Temerloh telah berjaya mengikuti Program Microsoft Elevate AI Siri 2 ILKBS bagi memperkasakan kemahiran digital warga pendidik. Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang ini dijalankan secara hibrid melalui platform Zoom oleh Biji - biji. Com.
Sesi latihan yang berpusat di Makmal ICT, CPKK IKTBN Temerloh ini menyaksikan penyertaan meluas daripada pelbagai kategori kakitangan, merangkumi barisan pengajar Gred DV, Gred S, serta kakitangan MySTEP. Kepelbagaian latar belakang peserta ini mencerminkan komitmen institusi dalam memastikan setiap lapisan tenaga pengajar kompeten dalam menguasai teknologi terkini.
Sepanjang sesi berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan modul-modul seperti Microsoft Learning Accelerators, AI for Productivity, dan AI Fluency for Future Skills. Fokus utama latihan ini adalah untuk memberi kefahaman mendalam mengenai peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam meningkatkan produktiviti kerja, mempersonalisasikan pembelajaran pelajar, serta menyediakan kandungan pengajaran yang lebih kreatif dan interaktif.
Melalui inisiatif ini, para pengajar dapat mengintegrasikan elemen AI ke dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan lebih efektif. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta atas kesungguhan meningkatkan kompetensi diri demi memartabatkan kualiti pendidikan TVET negara selari dengan arus perdana teknologi dunia.
