- Syilasiyah binti Mohd Ridhwan
- IKBN Kemasik
- Hits: 80
🌸 PERTANDINGAN KEMAHIRAN GUBAHAN BUNGA SEGAR 2026🌸
Kemasik, Kemaman – Jabatan Perhotelan, IKBN Kemasik telah berjaya menganjurkan Pertandingan Kemahiran Gubahan Bunga Segar Tahun 2026 yang berlangsung selama dua (2) hari, bermula 26 hingga 27 Ogos 2026 bertempat di Dewan Seri Suria, IKBN Kemasik.
Mengangkat tema “Kreativiti Berinovasi, Kemahiran Bertaraf Industri”, pertandingan ini menjadi platform kepada para pelajar untuk mengetengahkan kreativiti, ketelitian serta kemahiran seni gubahan bunga segar yang menepati keperluan dan standard industri perhotelan. Pada peringkat saringan, para peserta telah diberikan tema “Table Arrangement”, manakala enam (6) kumpulan terbaik yang berjaya mara ke peringkat akhir berentap menerusi tema “Rustic Elegance”.
Menariknya, kesemua peserta dibekalkan dengan empat (4) jenis bunga dan tiga (3) jenis daun sebagai bahan utama gubahan, selain bunga tambahan yang disediakan untuk melengkapkan hasil kreativiti masing-masing. Penggunaan bahan yang terhad ini menguji keupayaan peserta dalam menghasilkan gubahan yang kreatif, kemas, seimbang dan mempunyai nilai estetika.
Pertandingan ini melibatkan pelajar Jabatan Perhotelan daripada Bahagian Perkhidmatan Kaunter Hadapan serta Bahagian Room Aesthetics & Decoration. Seramai 12 kumpulan telah menyertai peringkat saringan sebelum enam (6) kumpulan terbaik dipilih untuk berentap di peringkat akhir bagi merebut gelaran juara Pertandingan Kemahiran Gubahan Bunga Segar Tahun 2026.
Pertandingan turut diadili oleh dua (2) orang juri yang berpengalaman dalam bidang gubahan bunga segar, iaitu Encik Rahmat bin Eli selaku Ketua Juri dan Encik Muhammad Firdaus bin Abu Hassan selaku Juri. Pihak Jabatan Perhotelan, IKBN Kemasik merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada barisan juri atas komitmen, kepakaran dan kerjasama yang diberikan dalam memastikan pertandingan ini berlangsung dengan lancar dan jayanya.
Tahniah juga diucapkan kepada semua peserta atas semangat, kreativiti dan kesungguhan yang ditonjolkan sepanjang pertandingan. Semoga pengalaman ini dapat menjadi nilai tambah dalam memperkukuh kemahiran serta meningkatkan keyakinan pelajar untuk melangkah ke alam industri perhotelan.
🌸 Kreativiti dicetus, kemahiran diperkasa, industri didukung!
TVET Pilihan Utama Kerjaya.
ILKBS Professional Terunggul.
#TeamIKBNKemasik
#TeamILKBS
#TeamKBS
#TVETMalaysia
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
