- Kok Kaw Keaw
- IKBN Kinarut
- Hits: 18
CERAMAH INTERVENSI TABIAT MEROKOK, JENAYAH SEKSUAL DAN JENAYAH KOMERSIAL
Kinarut, Sabah – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) IKBN Kinarut telah menganjurkan Program Intervensi Tabiat Merokok, Jenayah Seksual dan Jenayah Komersial yang melibatkan seramai 260 orang pelajar. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman pelajar mengenai bahaya gejala sosial, jenayah seksual serta jenayah komersial yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia.
Program ini menampilkan ceramah oleh Inspektor Mohamad Shafwan bin Datuk Abd. Wahab, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, yang berkongsi maklumat berkaitan kesan tabiat merokok, jenayah seksual serta pelbagai bentuk jenayah komersial yang semakin berleluasa. Antara topik yang diketengahkan termasuk penipuan dalam talian (scammer), akaun keldai, penipuan pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak sah, penyamaran sebagai agensi kerajaan dan jenayah siber yang sering mensasarkan golongan belia.
Turut menyampaikan perkongsian ialah Encik Azman bin Azlan, Pegawai Bank Negara Malaysia Sabah, yang memberi pendedahan mengenai aspek keselamatan kewangan dan perbankan digital. Beliau menekankan kepentingan melindungi maklumat perbankan peribadi, mengenal pasti taktik penipuan kewangan, memahami risiko menjadi akaun keldai serta langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya menjadi mangsa penipuan kewangan. Para pelajar turut didedahkan kepada amalan kewangan yang bijak dan bertanggungjawab dalam era digital.
Selain itu, Encik Mohammed Tonarusli Tonamli turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan literasi digital dan tanggungjawab pengguna media sosial dalam memastikan penggunaan teknologi secara selamat, beretika dan berintegriti.
Program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan para penceramah melalui sesi soal jawab yang membincangkan isu-isu semasa berkaitan keselamatan diri, jenayah seksual, jenayah komersial dan keselamatan siber.
Di akhir program, para pelajar telah melafazkan Ikrar Wira Digital Papar sebagai simbol komitmen untuk menjadi pengguna teknologi yang beretika, bertanggungjawab dan berperanan dalam membanteras jenayah siber serta penyebaran maklumat palsu.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah IKBN Kinarut, Puan Zuarini binti Jumai. Program ini merupakan antara usaha berterusan Unit Hal Ehwal Pelajar dalam melahirkan pelajar yang berilmu, berintegriti, celik digital serta sentiasa peka terhadap keselamatan diri dan kesejahteraan masyarakat.
"Bijak Menilai, Selamatkan Diri, Lindungi Masa Depan."
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
