LAWATAN PENDEDAHAN INDUSTRI KE SABAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SICC)

    LAWATAN PENDEDAHAN INDUSTRI KE SABAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SICC)

    KINARUT – Seramai 20 orang pelajar daripada Jabatan Penyejukbekuan dan Penyaman Udara (PPU), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut telah menyertai Lawatan Pendedahan Industri ke Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu sebagai usaha memperkukuh pengetahuan dan pendedahan terhadap aplikasi sebenar teknologi penyaman udara dan penyejukbekuan dalam industri.

    Lawatan tersebut turut disertai oleh tiga (3) orang pegawai pengiring, iaitu En. Muhammad Nazri bin Tumin, En. Mohd Firdaus Bin Daud dan En. Amir Bin Takim.

    Sepanjang lawatan, para pelajar telah diberikan taklimat berkaitan operasi dan penyelenggaraan sistem penyaman udara berpusat (Centralized Air Conditioning System), sistem penyejukan bangunan serta pengurusan fasiliti yang diaplikasikan di sebuah pusat konvensyen bertaraf antarabangsa.

    Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada penggunaan Building Management System (BMS), iaitu sistem kawalan berkomputer yang digunakan bagi memantau dan mengawal operasi pelbagai sistem mekanikal dan elektrikal di dalam bangunan seperti sistem penyaman udara (HVAC), pencahayaan, bekalan elektrik, sistem pam, pengudaraan, keselamatan serta sistem penggera kebakaran. Penerangan ini memberi kefahaman kepada pelajar mengenai bagaimana teknologi automasi bangunan digunakan untuk meningkatkan kecekapan operasi, menjimatkan penggunaan tenaga, memudahkan penyelenggaraan serta memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna bangunan.

    Di samping itu, para pelajar turut berpeluang melihat sendiri operasi bilik kawalan (Control Room) yang menjadi pusat pemantauan BMS serta memahami kaedah pemantauan parameter operasi secara masa nyata (real-time monitoring), pengesanan kerosakan (fault monitoring) dan tindakan pembaikan awal (preventive maintenance) yang diamalkan oleh pihak pengurusan fasiliti.

    Pihak IKBN Kinarut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sabah International Convention Centre (SICC) atas kesudian menerima kunjungan rombongan serta berkongsi ilmu, pengalaman dan kepakaran kepada para pelajar. Lawatan seperti ini diharapkan dapat memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik antara institusi TVET dan industri, seterusnya melahirkan graduan yang kompeten, berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri semasa serta Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

    Institut Kemahiran Belia Negara Kinarut,
    Jalan Limau Limauan, Kinarut,
    Sabah Malaysia

    Tel : +60 88-755 929
    This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.