KINARUT, 22 Jun 2026 – Pihak Pengurusan IKBN Kinarut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh warga institut atas kejayaan memperoleh Persijilan EKSA Cemerlang Tahun 2026, satu pengiktirafan yang mencerminkan komitmen berterusan institut dalam membudayakan amalan pengurusan persekitaran kerja yang berkualiti, kondusif dan produktif.
Pencapaian ini merupakan hasil usaha kolektif, kerjasama erat serta semangat kerja berpasukan yang tinggi dalam kalangan warga IKBN Kinarut untuk memastikan pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dilaksanakan secara konsisten dan berkesan di setiap zon serta ruang kerja institut.
Kejayaan ini membuktikan bahawa usaha berterusan seluruh warga kerja dalam menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip EKSA telah membuahkan hasil yang membanggakan, sekali gus meningkatkan imej dan reputasi IKBN Kinarut sebagai institusi TVET yang cemerlang dan berdaya saing.
Sebagai simbolik pengiktirafan terhadap kejayaan tersebut, Sijil Persijilan EKSA Cemerlang Tahun 2026 telah disampaikan secara rasmi oleh Pengarah IKBN Kinarut kepada Penyelaras Jawatankuasa EKSA IKBN Kinarut, Encik Amad bin Acho, dalam satu majlis penyampaian yang berlangsung di institut pada Isnin. Penyampaian sijil ini melambangkan penghargaan terhadap komitmen, dedikasi dan usaha berterusan pasukan EKSA serta seluruh warga institut dalam memastikan budaya kerja berkualiti terus diperkasakan.
Tahniah dan syabas kepada seluruh warga IKBN Kinarut atas kejayaan yang membanggakan ini!
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
