LAWATAN KERJA YB TIMBALAN MENTERI BELIA DAN SUKAN KE IKBN MIRI

    LAWATAN KERJA YB TIMBALAN MENTERI BELIA DAN SUKAN KE IKBN MIRI

    MIRI, 21 Mei 2026 (Khamis) – Yang Berhormat Tuan Mordi anak Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan telah mengadakan lawatan kerja ke IKBN Miri. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau secara dekat pengoperasian serta kualiti sistem penyampaian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan kepada belia di IKBN Miri. Lawatan kerja tersebut merangkumi beberapa agenda utama seperti berikut:
    Tinjauan ke Jabatan Teknologi Hospitaliti

    Di bengkel Pembuatan Pastri, beliau melihat dengan dekat fasiliti latihan berasaskan kursus yang disediakan. Beliau turut meluangkan masa menyantuni para pelajar yang sedang melaksanakan amali pembuatan dan seni menghias kek. Latihan amali seperti ini penting bagi melatih pelajar menyediakan makanan mengikut standard kebersihan dan kualiti yang tinggi.
    Tinjauan ke Jabatan Teknologi Mekanikal

    Lawatan ke bengkel Penyelenggaraan Industri, beliau telah ditunjukkan cara-cara penggunaan mesin industri serta silibus pembelajaran yang digunakan. 
    Tinjauan ke Jabatan Teknologi Automotif

    Lawatan ke bengkel Jabatan Teknologi Automotif bagi melihat sendiri standard peralatan teknologi penyelenggaraan kenderaan ringan, kenderaan perdagangan dan jentera berat yang ada di IKBN Miri. Beliau turut menyaksikan demonstrasi teknikal oleh pelajar seperti kerja-kerja mengilat (polishing) dan mengecat badan kereta (vehicle painting). Kemahiran ini mempunyai permintaan yang sangat tinggi dan pulangan yang lumayan di pasaran luar.
    Sesi Dialog Bersama Pegawai dan Kakitangan IKBN Miri

    Sesi dialog yang memberi peluang kepada pegawai dan kakitangan untuk berinteraksi secara langsung dengan YB Timbalan Menteri. Dalam sesi tersebut, beliau menekankan tentang permintaan tinggi industri masa kini terhadap tenaga kerja yang mahir dan kompeten. Beliau berharap agar pihak pengurusan dan tenaga pengajar dapat terus membimbing pelajar IKBN Miri untuk meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran mereka melalui latihan yang disediakan.

    Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen jitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memastikan persekitaran pembelajaran dan ruang kerja di IKBN Miri sentiasa berada pada tahap terbaik serta memenuhi spesifikasi sebenar industri global.
    "Let’s Create Excellence”
    TVET Pilihan Utama Kerjaya
    ILKBS Profesional Terunggul
    #TeamIKBNMiri
    #TeamILKBS
    #TeamKBS
    #TVETMalaysia
    #MalaysiaMADANI
    #MADANIBekerja
    #RancakkanMADANI

    Institut Kemahiran Belia Negara Miri,
    Jalan Permyjaya Utama,
    Bandar Baru Permyjaya
    98000 Miri, Sarawak

    No Tel : 085-660714