LAWATAN SAMBIL BELAJAR PROGRAM KEUSAHAWANAN DIGITAL KE ROSFANIAGA SERVICES SDN. BHD. (dFRentz Miri)

    LAWATAN SAMBIL BELAJAR PROGRAM KEUSAHAWANAN DIGITAL KE ROSFANIAGA SERVICES SDN. BHD. (dFRentz Miri)

    Miri, 6 Julai 2026(Isnin) – Seramai 19 orang pelajar Jurusan Pastri Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri telah menyertai Program Lawatan Sambil Belajar ke Rosfaniaga Services Sdn. Bhd. (dFRentz Miri), sebuah perusahaan pengeluaran keropok lekor yang semakin dikenali di Miri. Program ini turut diiringi oleh lima orang pengajar dan pegawai, iaitu Shahriman Basir, Darus Seli, Asis Abdullah, Minda dan Mardiana.

    Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada para pelajar mengenai pengurusan dan operasi sesebuah perniagaan, di samping membentuk nilai kepimpinan, disiplin, komunikasi serta kemahiran pengurusan yang diperlukan bagi melahirkan graduan TVET yang berdaya saing dan berjiwa usahawan. Selain itu, program ini turut memupuk nilai kreativiti, inovasi, integriti, kerjasama dan sikap proaktif dalam kalangan pelajar melalui pengalaman pembelajaran di industri.
    Sepanjang lawatan, para pelajar berpeluang mengikuti sesi perkongsian ilmu dan pengalaman yang disampaikan oleh pengasas perusahaan keropok lekor dFRentz, Puan Hajah Fatimah Binti Haji Abdul Hamid. Beliau berkongsi perjalanan membangunkan perniagaan, cabaran yang dihadapi serta strategi yang digunakan sehingga berjaya mengembangkan perusahaan tersebut. Perkongsian ini telah memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan pada masa hadapan.
    Pelajar turut diberi peluang melihat sendiri keseluruhan proses penghasilan keropok lekor, bermula daripada penyediaan bahan mentah, proses pembuatan, pembungkusan sehinggalah kepada aspek pemasaran produk. Lebih istimewa lagi, rombongan turut berpeluang menikmati keropok lekor yang baru siap dimasak, sekali gus memberi pengalaman yang lebih bermakna kepada semua peserta.

    Ketibaan rombongan telah disambut mesra oleh wakil syarikat, Puan Chere bersama barisan kakitangan dFRentz yang memberikan layanan yang amat baik sepanjang lawatan berlangsung. Suasana yang kondusif serta kerjasama erat daripada pihak industri telah menjadikan program ini berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
    Diharapkan program lawatan sambil belajar ini dapat memberi impak positif kepada para pelajar, khususnya dalam meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta minat terhadap bidang keusahawanan. Pengalaman dan perkongsian daripada pengasas syarikat diharapkan menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha, berinovasi dan berani merealisasikan impian sebagai usahawan yang berjaya pada masa hadapan.
    "Let’s Create Excellence"
    TVET Pilihan Utama Kerjaya
    ILKBS Profesional Terunggul

    Institut Kemahiran Belia Negara Miri,
    Jalan Permyjaya Utama,
    Bandar Baru Permyjaya
    98000 Miri, Sarawak

    No Tel : 085-660714