MONDELEZ MALAYSIA SDN. BHD.

    MONDELEZ MALAYSIA SDN. BHD.

    MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PENINGKATAN KEMAHIRAN (UPSKILLING & RESKILLING) PEKERJA SYARIKAT MONDELEZ MALAYSIA SDN. BHD.

    PULAU PINANG, 29 September 2025 – Seramai 21 orang pekerja dari Mondelez Malaysia Sdn. Bhd. kini akan menjalani program peningkatan kemahiran (upskilling & reskilling) yang dikendalikan oleh Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka. Kerjasama strategik ini dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis yang berlangsung di premis syarikat Mondelez di Perai.

    Majlis pelancaran yang penuh makna ini diserikan dengan kehadiran wakil-wakil penting dari kedua-dua belah pihak. IKBN Naka diketuai oleh Pengarahnya, Encik Ismawi bin Ismail, bersama lapan orang pengiring, termasuk Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan, Encik Mohd Nurul Fakri bin Rofiee, dan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Encik Mohamad Hafifi bin Jamaludin. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Utara, Puan Lili Munira binti Mat Yusuf, bersama Setiausaha Pejabat, Puan Nor Aishah binti Ismail, yang menunjukkan sokongan padu kerajaan terhadap inisiatif ini.

    Dalam ucapan aluannya, Encik Ismawi b. Ismail menekankan bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini merupakan aspirasi utama kerajaan. Beliau menggesa para peserta program untuk mengambil peluang keemasan ini dengan bersungguh-sungguh, kerana ia bukan sahaja mengiktiraf pengalaman sedia ada mereka di industri tetapi juga membolehkan mereka meningkatkan kemahiran diri demi kemajuan kerjaya.

    Puan Lili Munira binti Mat Yusuf pula menyambut baik kolaborasi antara industri dan pusat latihan bertauliah seperti IKBN Naka. Beliau menegaskan bahawa JPK sentiasa mengalu-alukan kerjasama sebegini dalam usaha berterusan untuk memperkasakan bidang TVET di Malaysia.

    Sementara itu, wakil dari pihak Mondelez Malaysia Sdn. Bhd., Encik Stevenson Go, selaku Penyelia Kilang, meluahkan keyakinan beliau terhadap program ini. Beliau menyatakan harapan pihak pengurusan atasan syarikat untuk melihat impak positif yang signifikan daripada program ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang, yang dijangka akan menyumbang kepada kemajuan syarikat.
    Majlis kemuncak diakhiri dengan upacara menandatangani Surat Nyata Niat (LOI) antara IKBN Naka dan Syarikat Mondelez Malaysia Sdn. Bhd., yang secara rasmi memeterai kerjasama latihan yang strategik ini. Inisiatif ini menandakan satu langkah penting dalam usaha berterusan untuk merapatkan jurang antara keperluan industri dan latihan kemahiran, sekali gus memperkukuh ekosistem tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing. Pihak CHI IKBN Naka mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat.

    Institut Kemahiran Belia Negara Naka
    Mukim Tekai, Pekan Naka,
    Kedah, Malaysia

    No Tel : 04 - 7993000
    No Faks : 04 - 7851269
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.