
RAKAN PRIHATIN IKBN NAKA @HARI CUCI MALAYSIA
Kuala Nerang, 27 September 2025 – Program Hari Cuci Malaysia 2025 telah berlangsung meriah di perkarangan Masjid Ubadillah, Kampung Bendang Raja, Kuala Nerang, Kedah dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk pelajar, belia dan penduduk setempat.
Program gotong-royong mega yang membawa tema Rakan Prihatin IKBN Naka @ Hari Cuci Malaysia ini melibatkan penyertaan Kelab Rakan Muda Padang Terap, Persatuan Belia Kampung Bendang Raja Kuala Nerang, Pejabat Belia dan Sukan Padang Terap, penduduk kampung serta 50 pelajar dan kakitangan IKBN Naka.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Penghulu Muhammad Helmi bin Yaakob. Turut hadir sama, En. Mohammad Hafifi bin Jamaludin, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar IKBN Naka dan En. Mohamad Sallehuddin bin Abd Rahman, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Padang Terap.
Menurut penganjur, program ini bertujuan memupuk semangat sukarelawan, meningkatkan kesedaran kebersihan serta memperkukuh kerjasama komuniti melalui aktiviti pembersihan kawasan masjid dan sekitar kampung.
Inisiatif sebegini diharap dapat menjadi contoh dalam melahirkan masyarakat prihatin serta menyemarakkan budaya gotong-royong di kalangan belia dan penduduk setempat.