Lawatan Pendedahan Industri Dan Sinergi Strategik IKBN Pekan Di Zenix Aerospace UPECA

    Lawatan Pendedahan Industri Dan Sinergi Strategik IKBN Pekan Di Zenix Aerospace UPECA

    Masa depan sektor aeroangkasa negara memerlukan rantaian bakat yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah jitu menepati acuan operasi industri sebenar.

    Atas kesedaran tersebut, seramai 30 orang pelajar cemerlang IKBN Pekan daripada bidang Pembaikan Struktur Pesawat (Sheet Metal & Komposit) telah berpeluang menyelami realiti operasi teknologi tinggi melalui Lawatan Pendedahan Industri ke Zenix Aerospace UPECA yang terletak di Subang, Selangor.

    Lawatan berimpak tinggi ini turut diperkukuh dengan kehadiran delegasi pengurusan tertinggi dan barisan pegawai akademik IKBN Pekan yang diketuai oleh Ts. Mohd Anuar bin Said, Pengarah IKBN Pekan; Encik Mohd Fathi Kamal bin Mohd Mabror, Ketua Jabatan Pembaikan Struktur Pesawat; Ts. Mohd Hakim bin Mohd Nasir, Ketua Cawangan Hubungan Industri; Encik Muhamad Fadzrin bin Mohamed, Ketua Bahagian Komposit; Encik Mohd Razali bin Omar (Ketua Bahagian Sheet Metal; Encik Muhammad Nasaruddin bin Mustafa (Pengajar Bahagian Sheet Metal; Encik Mohd Jalil bin Mohamad Arshad, Pengajar Bahagian Sheet Metal; dan Tc. Mohd Fozi Hafiz bin Hassan, Pegawai Cawangan Hubungan Industri.

    Ketibaan delegasi IKBN Pekan telah disambut mesra oleh Puan Azliah Md Said, Senior Director, HR & Administration. Sesi lawatan bermula dengan taklimat korporat serta profil operasi syarikat yang disampaikan secara eksklusif oleh Encik Mohammad Husin, Senior Manager, Special Process Division (SPD).

    Selain diberi peluang keemasan melawat ruang kerja pembuatan sebenar (shop floor) bagi melihat asimilasi teknologi pembuatan komponen pesawat moden, para pelajar turut mendepani fasa transisi kerjaya yang realistik melalui sesi temuduga pengambilan latihan industri yang dikendalikan terus oleh panel penilai syarikat.

    Pada masa yang sama, pengurusan tertinggi IKBN Pekan dan pihak Zenix Aerospace UPECA telah duduk bersama dalam satu sesi perbincangan kerjasama strategik. Meja rundingan ini membuka ruang dan peluang perkongsian pintar yang lebih luas, merangkumi aspek penjajaran kurikulum, pemindahan teknologi bagi melahirkan teknokrat aeroangkasa yang kalis masa hadapan.

    Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak pengurusan Zenix Aerospace UPECA atas kesudian menerima kunjungan dan membuka peluang interaksi industri yang amat bermakna ini.

    Sinergi ini merupakan bukti komitmen berterusan IKBN Pekan dalam memastikan modal insan TVET sentiasa memacu rantaian bekalan bakat berprestasi tinggi di peringkat global.

    TVET Pilihan Utama Kerjaya
    ILKBS Profesional Terunggul

    Institut Kemahiran Belia Negara Pekan 
    Km 55, Jalan Kuantan - Segamat,
    26650 Pekan, 
    Pahang Darul Makmur.

    No. Tel  : 09-451 4888
    No. Fax : 09-451 4999
    Email    : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.