Satu sesi penerangan dan khidmat bantu berkaitan penyimpanan data menggunakan Google Drive telah dianjurkan khusus untuk semua pegawai IKBN Pekan, bertempat di Makmal Virtual Learning IKBN Pekan bermula jam 9.00 pagi.
Program yang telah dianjurkan oleh Pegawai Kawalan Dokumen & Rekod IKBN Pekan ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman serta kemahiran warga kerja IKBN Pekan dalam pengurusan data secara digital, selamat dan sistematik selari dengan keperluan pendigitalan perkhidmatan serta pengurusan fail jabatan yang lebih cekap dan berkesan.
Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Ts. Muhammad Hamdan bin Abdullah Hazam, TPPL IKBN Pekan, yang bukan sahaja membentangkan penggunaan Google Drive sebagai alternatif storan digital yang lebih teratur dan selamat, malah turut berkongsi panduan asas pembinaan Google Sites. Perkongsian ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah membangunkan laman maklumat dalaman secara ringkas, tersusun dan mudah dikemaskini.
Diharapkan sesi ini dapat membantu meningkatkan kecekapan kerja, menggalakkan kolaborasi antara warga kerja serta menyokong usaha pendigitalan organisasi ke arah perkhidmatan yang lebih inovatif dan mampan.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
