- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 78
247 PELATIH PLKN 3.0 SIRI 3/2026 SERBU IKBN PERETAK, TEROKA DUNIA TVET!
18 Ogos 2026 | IKBN Peretak – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah menjadi destinasi eksplorasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi 247 pelatih wanita bersama 31 jurulatih daripada Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 515, Kuala Lumpur menerusi Program PLKN 3.0 Siri 3/2026 Modul Eksplorasi Pendidikan TVET.
Turut hadir Yang Berusaha Mejar Mohd Solehin bin Ahmad, Komandan Kem Latihan Khidmat Negara Cawangan Rejimen 515 Askar Wataniah, Mejar Tun Mohd Barikh bin Tun Mohd Fadzil serta Yang Berusaha Kapten Vikganeswary A/P Arumugam, Timbalan Komandan Kem Latihan Khidmat Negara Cawangan Rejimen 515 Askar Wataniah.
Program ini merupakan kali kedua IKBN Peretak telah diberikan kepercayaan sebagai lokasi pelaksanaan Modul Eksplorasi Pendidikan TVET bagi pelatih PLKN, sekali gus memperlihatkan komitmen Institut dalam memperkenalkan dunia TVET kepada generasi muda melalui pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif, kreatif dan menyeronokkan.
Menerusi aktiviti “Mari Mencuba”, para pelatih bukan sahaja didedahkan kepada bidang-bidang kemahiran yang ditawarkan di IKBN Peretak, malah berpeluang merasai sendiri pengalaman pembelajaran secara hands-on melalui aktiviti praktikal yang disediakan oleh tiga (3) jabatan utama institut.
Jabatan Teknologi Fesyen & Pakaian telah membawa para pelatih meneroka kreativiti melalui aktiviti Folded Fabric Appliqué dan Doodle Bag, yang memberi peluang kepada peserta menghasilkan sentuhan reka bentuk kreatif menggunakan kemahiran asas fesyen dan pakaian. Jabatan Teknologi Hospitaliti pula menyediakan pengalaman yang pastinya mencuit selera menerusi aktiviti Deco Cupcake, Chocolate Muffin, Non Aerated Beverage dan Chicken Spaghetti Aglio Olio. Para pelatih berpeluang mengenali asas penyediaan makanan dan minuman sambil merasai sendiri suasana pembelajaran dalam bidang hospitaliti. Manakala Jabatan Teknologi Kosmetologi memperkenalkan Asas Penjagaan Kuku, memberikan pendedahan kepada para pelatih tentang kemahiran asas penjagaan dan kekemasan diri dalam bidang kosmetologi.
Semoga program seperti ini dapat membuka perspektif baharu dalam kalangan para pelatih PLKN bahawa TVET bukan sekadar pembelajaran berasaskan kemahiran, tetapi merupakan laluan pendidikan yang dinamik, kreatif dan mempunyai prospek kerjaya yang luas. Bukan sekadar melihat dan mendengar, Modul Eksplorasi Pendidikan TVET ini memberikan peluang kepada para pelatih untuk mencuba sendiri, merasai pengalaman dan mengenali potensi diri dalam pelbagai bidang kemahiran.
IKBN Peretak komited untuk terus menjadi platform dalam memperkenalkan dunia TVET kepada generasi muda serta menyokong aspirasi negara dalam melahirkan generasi yang berkemahiran, kreatif, kompeten dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan masa hadapan.
