- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 7
KREATIVITI & KEUSAHAWANAN BERGERAK SEIRING BERSAMA KELAB TECHNO VENTURE!
IKBN Peretak, 12 Jun 2026 - Hari ini telah berlangsung dua aktiviti menarik anjuran Kelab Techno Venture di sekitar kawasan Institut Kemahiran Belia Negara Peretak yang berjaya menarik perhatian ahli kelab serta warga Institut. Bertempat di Makmal Komputer 2, ahli kelab telah menyertai aktiviti “AI Music Creation” menggunakan aplikasi Suno AI. Aktiviti ini bertujuan memberi pendedahan kepada ahli kelab mengenai penggunaan teknologi Artificial Intelligence (AI) dalam penghasilan muzik digital secara kreatif dan inovatif.
Bagi menjadikan aktiviti lebih interaktif dan menyeronokkan, ahli kelab telah dibahagikan kepada lapan (8) kumpulan, di mana setiap kumpulan diberi cabaran untuk menghasilkan sebuah lagu menggunakan aplikasi Suno AI berdasarkan idea dan kreativiti masing-masing. Ahli kelab perlu berbincang bagi menentukan tema, lirik, genre muzik serta mood lagu sebelum menghasilkan karya mereka melalui teknologi AI.
Suasana di Makmal Komputer 2 berlangsung dengan penuh ceria dan gelak tawa apabila setiap kumpulan tampil membentangkan lagu hasil ciptaan mereka di hadapan rakan-rakan ahli kelab. Pelbagai idea kreatif diketengahkan, menjadikan setiap lagu unik, menghiburkan dan mencerminkan kreativiti generasi digital masa kini. Aktiviti ini bukan sahaja membuka peluang kepada ahli kelab meneroka teknologi baharu, malah berjaya memupuk semangat kerjasama berpasukan, kreativiti serta meningkatkan keyakinan diri ketika membuat pembentangan di hadapan khalayak.
Bagi menambahkan lagi semangat dan keterujaan peserta, hadiah menarik turut menanti kumpulan yang berjaya menghasilkan lagu paling kreatif dan menarik, yang akan diumumkan oleh Penyelaras Kelab Techno Venture pada perjumpaan akan datang. Elemen ganjaran ini secara tidak langsung berjaya mewujudkan persaingan sihat serta meningkatkan komitmen ahli dalam menjayakan aktiviti yang dijalankan.
Dalam masa yang sama, Kelab Techno Venture turut menjalankan aktiviti jualan keusahawanan di Dataran HEP dengan menawarkan menu menarik seperti Air Solero dan Potato Spring. Sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada warga IKBN Peretak yang tidak melepaskan peluang menikmati jualan sambil memberi sokongan kepada usaha kelab dalam memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan ahli.
Pelaksanaan kedua-dua aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada ahli kelab dalam aspek teknologi digital dan AI, malah turut membentuk kemahiran komunikasi, kreativiti, kerja berpasukan serta keusahawanan, selaras dengan aspirasi melahirkan belia TVET yang berdaya saing dan berkemahiran pelbagai.
