IKBN Peretak, 10 April 2026 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Jabatan Pengajian Umum, IKBN Peretak telah menganjurkan Perhimpunan Bulanan bagi bulan Januari hingga Mac 2026 yang berlangsung di Dewan DAHA, IKBN Peretak bermula jam 8.00 pagi.
Majlis dimulakan dengan kehadiran para pelajar serta pegawai dan kakitangan yang mengambil tempat masing-masing. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ketibaan Pengarah IKBN Peretak yang disambut dengan penuh hormat.
Aturcara diteruskan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan bacaan Ikrar Rukun Negara, diikuti dengan bacaan doa bagi memohon keberkatan sepanjang majlis berlangsung. Para hadirin kemudian dipertontonkan tayangan slide dan video sebagai pengenalan serta sorotan aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang bulan Januari hingga Mac 2026.
Majlis turut menyaksikan sesi pengenalan pegawai baharu serta penghargaan kepada pegawai yang telah bertukar keluar ke IKBN Jitra iaitu Puan Sharifah Khairani binti Shaari Selain, tayangan aktiviti sepanjang tempoh tiga bulan tersebut memberi gambaran jelas tentang penglibatan aktif pelajar dan warga institut dalam pelbagai program.
Acara kemuncak diteruskan dengan penyampaian watikah pelantikan kepada Sekretariat Rakan Muda (SRM) dan Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) bagi tahun 2026, diikuti dengan lafaz Ikrar Aku Janji oleh Pengerusi MPP sebagai tanda komitmen terhadap tanggungjawab yang diamanahkan.
Pengarah IKBN Peretak kemudiannya menyampaikan ucapan yang penuh inspirasi, menekankan aspek disiplin, kecemerlangan dan penglibatan aktif pelajar dalam pembangunan diri.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan hadiah Anugerah Khas Pekerja Terbaik Bulanan (AKPTB) bagi bulan Januari hingga Mac 2026. Turut disampaikan penghargaan kepada petugas Program Ihya’ Ramadan 2026 serta pemenang pertandingan boling.
Sebagai penutup, majlis dimeriahkan dengan sambutan hari lahir bagi pegawai dan kakitangan yang lahir pada bulan Januari hingga Mac 2026 sebagai tanda penghargaan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga institut.
Secara keseluruhannya, majlis berlangsung dengan lancar dan penuh bermakna, mencerminkan semangat kerjasama dan komitmen tinggi dalam kalangan warga IKBN Peretak.
