MATAC & IKBN PERETAK JALIN KERJASAMA STRATEGIK: PERKASA TVET FESYEN

    MATAC & IKBN PERETAK JALIN KERJASAMA STRATEGIK: PERKASA TVET FESYEN

     
    13 November 2025 , IKBN Peretak – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak hari ini telah menerima kunjungan lawatan penanda aras daripada Malaysian Textile and Apparel Centre (MATAC). Delegasi MATAC yang diketuai oleh Encik Mohd Ivansham Bin Abdullah (Ahli Majlis MATAC dan Naib Presiden MTMA) yang turut disertai oleh wakil syarikat dari Jakel Group, Workwear Designs and Marketing Sdn Bhd dan wakil Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) disambut mesra oleh Pengarah IKBN Peretak, Puan Normahsyuri Binti Md. Shariff, serta barisan pegawai terutama Jabatan Fesyen dan Pakaian. Lawatan ini bertujuan untuk memulakan jalinan kerjasama strategik antara badan industri utama (MATAC) dengan Kementerian Belia dan Sukan melalui pusat bertauliah (IKBN Peretak) dalam usaha memajukan dan memperkukuh program latihan kemahiran dalam bidang Fesyen dan Pakaian.

    Inisiatif jalinan kerjasama ini merupakan langkah proaktif dalam merapatkan jurang antara keperluan industri fesyen dan penawaran latihan teknikal dan vokasional (TVET). Melalui perkongsian kepakaran dan sumber daripada MATAC, program latihan di IKBN Peretak dijangka akan diselaraskan dengan lebih tepat mengikut piawaian dan teknologi terkini pasaran. Kerjasama ini amat penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan adalah berkemahiran tinggi dan 'sedia-kerja' (job-ready), sekali gus menyokong pembangunan modal insan bagi sektor tekstil dan pakaian negara.

    Delegasi MATAC turut dibawa melawat dan meninjau secara langsung fasiliti serta bengkel latihan yang digunakan dalam program Fesyen dan Pakaian di IKBN Peretak. Tinjauan menyeluruh ini membolehkan pihak industri menilai infrastruktur dan kaedah pengajaran, membuka ruang kepada perbincangan lanjut bagi merangka mekanisme kerjasama yang konkrit dan berimpak tinggi. Lawatan ini menggariskan komitmen bersama dalam memperkasakan ekosistem TVET negara.

    Institut Kemahiran Belia Negara Peretak, 
    Jalan Ampang Pecah, 
    44000 Kuala Kubu Bharu,
    Selangor Darul Ehsan

    Nombor Telefon    : 03-6099 6000
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.