- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 98
PEGAWAI IKBN PERETAK BERSINAR DI PENTAS NASIONAL: PENGACARA IYF@KBS FORUM 2025
Kuala Lumpur, 17 Disember 2025 – IKBN Peretak sekali lagi mencatat detik membanggakan apabila salah seorang pegawainya, Cik Dashaiyani Santhirasekaran, diberi amanah sebagai Pengacara Majlis IYF@KBS Forum 2025. Forum berprestij ini merupakan inisiatif di bawah Dana Antarabangsa Belia (IYF@KBS) anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Pusat Belia Antarabangsa (IYC), yang menghimpunkan tokoh belia dan pakar strategik di peringkat nasional serta antarabangsa.
Forum yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras ini disertai kira-kira 150 peserta daripada pelbagai latar belakang dan agensi. Program ini memberi ruang perkongsian ilmu dan pengalaman melalui dua sesi panel utama bertajuk “Beyond Borders: What Malaysian Youth Must Prepare For” dan “Youth at Centre: Delivering the UN Pact for the Future”, melibatkan pakar daripada IDEAS Malaysia, SEARCCT, PRIA India dan UNDP Malaysia. Turut diketengahkan ialah perkongsian pengalaman penerima Dana IYF@KBS yang menyertai program antarabangsa seperti COP30, World Food Forum dan persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Majlis perasmian forum telah disempurnakan oleh Dr. Zainah binti Shariff, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara, manakala majlis penutup disempurnakan oleh YBrs. Puan Chan Hong Jin, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Kementerian Belia dan Sukan. Pelantikan Cik Dashaiyani sebagai pengacara majlis mencerminkan keyakinan dan kepercayaan Kementerian terhadap profesionalisme serta keupayaan pegawai IKBN Peretak dalam mengendalikan program berimpak tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.
