- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 14
PELAJAR BAHARU IKBN PERETAK MANTAPKAN JATI DIRI MENERUSI PKJD SELANGOR 2026 SELARAS DENGAN MINGGU PARADIGMA
31 Julai 2026, IKBN Peretak – Seramai 121 orang pelajar baharu Sesi 2/2026 Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah berjaya menyertai Program Kepimpinan dan Jati Diri Belia (PKJD) Peringkat Negeri Selangor 2026 yang berlangsung selama lima hari empat malam, bermula 27 hingga 31 Julai 2026.
Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Selangor dengan kerjasama IKBN Peretak dan Kelab Rakan Muda Selayang Baru ini dijalankan selaras dengan Minggu Paradigma pelajar baharu sesi 2/2026 di IKBN Peretak.
Inisiatif ini bertujuan untuk membentuk sahsiah diri, memupuk semangat kepimpinan, serta menyemai nilai patriotisme dan disiplin yang tinggi dalam kalangan belia sebelum mereka memulakan sesi pengajian kemahiran masing-masing.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul dinamik merangkumi aktiviti pembinaan pasukan (team building), bengkel komunikasi dan kepimpinan, serta aktiviti ketahanan mental dan fizikal.
Penganjuran PKJD 2026 ini diharap dapat melahirkan modal insan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, malah mempunyai jati diri yang kukuh serta berdaya saing bagi mendepani cabaran masa hadapan.
Majlis penutup Program Kepimpinan dan Jati Diri Belia (PKJD) telah disempurnakan oleh Tuan Muhamad Shaharudin bin Osmin, Ketua Penolong Pengarah Daerah dan Tanah Hulu Selangor.
