PELAJAR JABATAN TEKNOLOGI KOSMETOLOGI IKBN PERETAK BERI SENTUHAN PROFESIONAL DI MAJLIS ANUGERAH SUKAN NEGARA 2025

    PELAJAR JABATAN TEKNOLOGI KOSMETOLOGI IKBN PERETAK BERI SENTUHAN PROFESIONAL DI MAJLIS ANUGERAH SUKAN NEGARA 2025

     
    Bukit Jalil, 19 Mei 2026 – Seramai 18 orang pelajar daripada Jabatan Teknologi Kosmetologi, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan aspek penampilan sempena Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 yang berlangsung hari ini. Kumpulan pelajar ini terdiri daripada Jurusan Perekaan Gaya Rambut dan Terapi Kecantikan dibawah seliaan Puan Syazana Binti Dzulkefli, Puan Janefer Farida Binti Baharuddin dan Puan Nor Shakila Binti Mohd Redzuan Jaya. IKBN Peretak telah dilantik sebagai rakan strategik oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menawarkan khidmat kepakaran dalam bidang solekan asas serta dandanan rambut untuk memastikan para atlet tampil kemas dan berimej profesional.

    Majlis penuh istiadat ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, bertempat di Dewan Banquet, Casa 4, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. Sepanjang majlis berlangsung, para pelajar tersebut bertanggungjawab menyediakan penampilan bagi 21 orang atlet yang terdiri daripada calon dan penerima anugerah mengikut kategori masing-masing. Selain atlet, tugasan mereka turut merangkumi khidmat solekan dan dandanan untuk barisan jurulatih, penerima Anugerah Khas, serta lima orang pembawa dulang yang terlibat dalam protokol penyampaian anugerah di atas pentas.

    Anugerah Sukan Negara 2025 merupakan platform pengiktirafan tertinggi negara bagi menghargai sumbangan cemerlang atlet dan jurulatih yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Penglibatan pelajar IKBN Peretak dalam acara berskala besar seperti ini bukan sahaja membuktikan kualiti latihan kemahiran yang diberikan oleh institut tersebut, malah memberi pendedahan industri yang sangat berharga kepada para pelajar dalam menguruskan acara rasmi bertaraf nasional. Kerjasama strategik ini diharap dapat terus memperkukuh agenda pembangunan belia dan memartabatkan bidang kemahiran teknikal di Malaysia.

    Institut Kemahiran Belia Negara Peretak, 
    Jalan Ampang Pecah, 
    44000 Kuala Kubu Bharu,
    Selangor Darul Ehsan

    Nombor Telefon    : 03-6099 6000
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.