PERTANDINGAN IDEA KITAR SEMULA KREATIF DAN INOVATIF PERINGKAT ANTARABANGSA

    PERTANDINGAN IDEA KITAR SEMULA KREATIF DAN INOVATIF PERINGKAT ANTARABANGSA

     
    Ipoh, 14 Mei 2026 - Perak Creative and Innovative Recycle Idea Competition (PCIRI’26) telah berlangsung bersempena International Education Research and Innovation Carnival (InERIC 2026) yang bertempat di aras bawah Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

    IKBN Peretak menerusi Jabatan Teknologi Fesyen dan Pakaian bagi program Diploma Fesyen dan Pakaian (DPF) telah berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan tersebut. Penyertaan ini melibatkan pelajar Diploma Fesyen dan Pakaian iaitu Aisyah Nurnabihah Binti Mohd Rosly, Alya'a Aqilah Binti Ahmad Muzakir dan Hanis Nabilah Binti Mohamad Hairi bersama pengajar, Puan Nur Inani Izzati Binti Mohd Shariff.

    Sebanyak dua sesi pembentangan akhir telah diadakan sepanjang pertandingan tersebut. Kumpulan peserta telah mempersembahkan produk inovasi yang dinamakan Ramen Re-Lief (RRL), iaitu sebuah beg pelbagai guna yang dihasilkan daripada pembungkusan plastik ramen terpakai menggunakan teknik patchwork. Produk inovasi ini direka khas untuk kegunaan semua lapisan masyarakat dan sesuai digunakan dalam pelbagai aktiviti harian.

    Inovasi Ramen Re-Lief (RRL) menekankan konsep mesra alam melalui penggunaan bahan kitar semula, pembungkusan biodegradasi serta proses pengeluaran rendah karbon. Selain itu, penggunaan semula pembungkusan ramen sebagai beg multipurpose turut menyokong gaya hidup lestari dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar.

    Pada sesi petang, Majlis Perasmian Karnival Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Peringkat Antarabangsa telah disempurnakan oleh YAB Dato Seri Saarani Bin Mohamad selaku Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dengan membawa tema “Kreatif dan Inovatif Pemaju Masyarakat Madani”.

    Peserta daripada IKBN Peretak berjaya memperoleh anugerah emas berserta medal dan sijil penyertaan. Pengalaman yang diperoleh sepanjang pertandingan ini amat bermakna dalam meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta keyakinan pelajar dan pengajar dalam bidang inovasi. Penyertaan ini juga menjadi pemangkin kepada penghasilan idea yang lebih kreatif, bernas dan berdaya saing pada masa hadapan.

    Institut Kemahiran Belia Negara Peretak, 
    Jalan Ampang Pecah, 
    44000 Kuala Kubu Bharu,
    Selangor Darul Ehsan

    Nombor Telefon    : 03-6099 6000
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.