- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 9
IKBN PERETAK MERIAHKAN HARI BELIA NEGARA DAERAH HULU SELANGOR DENGAN AKTIVITI KEMAHIRAN DAN PROMOSI TVET
RAWANG, 13 Mei 2026 – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah mengambil bahagian secara aktif dalam pameran kerjaya dan aktiviti kemahiran sempena Program Semarak Belia @ Hari Belia Negara (SBN@HBN) Peringkat Daerah Hulu Selangor 2026, yang berlangsung dengan jayanya pada 13 Mei 2026 (Rabu) bertempat di SMK Sungai Choh, Rawang, Selangor. Penganjuran program ini adalah atas jemputan daripada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Hulu Selangor.
Kehadiran IKBN Peretak ke majlis tersebut bertujuan untuk mempromosikan peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan kepada pelajar sekolah yang hadir. Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) IKBN Peretak telah mengendalikan reruai pameran dan penerangan kepada pelajar dari beberapa sekolah menengah termasuk SMK Serendah, SMK Bukit Sentosa, SMK Taman Bunga Raya 1, SMK Bandar Sungai Buaya, dan SMK Bukit Sentosa 2.
Lebih menarik, Jabatan Hospitaliti IKBN Peretak telah dijemput khas untuk menganjurkan aktiviti kemahiran 'Rakan Mahir' iaitu Bengkel Dekorasi Cup Cake. Aktiviti ini menarik penyertaan seramai 50 orang peserta dari SMK Sungai Choh. Bengkel ini dikendalikan oleh pengajar Pastri, Pn. Nurul Hazwani binti Ahmad Fauzi, dengan dibantu oleh empat orang pelajar Bidang Pastri iaitu Nur Zahira Nabihah binti Mohd Azizi, Nur Aisyah Adrina binti Abd Rani, Nur Qashrina Yasmeen binti Noorasni, dan Muhammad Syahmi bin Muhammad Ariffin.
Penglibatan IKBN Peretak dalam program SBN@HBN ini merupakan sebahagian daripada inisiatif institusi untuk menyokong agenda pembangunan belia negara serta mempromosikan kemahiran TVET sebagai laluan kerjaya yang berdaya saing.
