- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 52
PINGAT EMAS DAN TEMPAT PERTAMA MILIK MULTISTITCH CLIMBER LUGGAGE DARIPADA IKBN PERETAK!
TEMERLOH, 17 Ogos 2026 – Alhamdulillah, pasukan inovasi Dara Couture dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih Pingat Emas (Gold) dan Tempat Pertama dalam pertandingan Innovation Development Through Educational Activities Tahun 2026 (iDEA’26) yang berlangsung di Dewan Tun Razak, Temerloh, Pahang.
Kejayaan ini diraih menerusi inovasi “Multistitch Climber Luggage” dalam kategori Rekaan Masa Hadapan, yang mengetengahkan kreativiti dan inovasi dalam menghasilkan produk berkonsepkan reka bentuk masa hadapan.
Pasukan Dara Couture dibimbing oleh Puan Syahmun binti Mohd Zin selaku penyelia, bersama tiga orang pelajar iaitu Siti Alya Bini binti Yusof, Siti Maisarah binti Hassan dan Nurul Ain Nadia binti Zakaria.
Pertandingan iDEA’26 merupakan platform yang memberi peluang kepada peserta untuk mempersembahkan hasil inovasi di peringkat akhir serta melalui sesi penilaian oleh panel juri. Pertandingan berlangsung pada 16 dan 17 Ogos 2026, dengan sesi penilaian projek pada hari pertama, diikuti pameran projek iDEA’26 dan Majlis Perasmian Penutupan Jelajah TVET ILKBS Zon Timur serta Penyampaian Hadiah Pertandingan iDEA’26 pada 17 Ogos 2026.
Pencapaian Pingat Emas dan Tempat Pertama ini membuktikan komitmen, kreativiti, kemahiran teknikal dan kesungguhan pasukan DARA COUTURE dalam menghasilkan inovasi yang berkualiti serta berdaya saing. Kejayaan ini juga mencerminkan keupayaan pelajar TVET IKBN Peretak dalam mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran bagi menghasilkan produk inovatif yang berpotensi untuk dikembangkan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Puan Syahmun binti Mohd Zin serta barisan pelajar DARA COUTURE atas kejayaan yang membanggakan ini. Semoga pencapaian tersebut menjadi pemangkin semangat untuk terus mencipta inovasi yang kreatif, berimpak dan memberi manfaat kepada masyarakat serta negara.
IKBN PERETAK — INOVASI, KREATIVITI DAN KECEMERLANGAN TVET! 

