PROGRAM IHYA RAMADAN - TAZKIRAH RAMADAN (SEPULUH MALAM TERAKHIR)

    PROGRAM IHYA RAMADAN - TAZKIRAH RAMADAN (SEPULUH MALAM TERAKHIR)

     
    IKBN Peretak, 9 Mac 2026 – Program Tazkirah Ramadan bertajuk “10 Akhir Ramadan” telah berlangsung dengan penuh penghayatan di Surau Nur Salam, IKBN Peretak. Program ini telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad bin Hassan dan dihadiri oleh para pegawai serta pelajar IKBN Peretak.

    Tazkirah tersebut memberi penekanan tentang kelebihan dan keistimewaan 10 malam terakhir bulan Ramadan, yang merupakan waktu terbaik bagi umat Islam untuk memperbanyakkan amalan ibadah seperti solat malam, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa. Ustaz Muhammad bin Hassan turut mengingatkan bahawa pada malam-malam tersebut terdapat Lailatul Qadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

    Beliau juga menggalakkan para pelajar agar memanfaatkan peluang pada penghujung Ramadan ini dengan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Selain itu, beliau menasihatkan agar setiap individu menjadikan Ramadan sebagai medan untuk memperbaiki diri, meningkatkan disiplin serta membentuk akhlak yang lebih baik dalam kehidupan seharian.

    Program tazkirah ini merupakan salah satu pengisian dalam Program Ihya’ Ramadan IKBN Peretak, yang bertujuan menyemarakkan penghayatan Ramadan dalam kalangan warga institut melalui aktiviti keagamaan dan kerohanian.

    Institut Kemahiran Belia Negara Peretak, 
    Jalan Ampang Pecah, 
    44000 Kuala Kubu Bharu,
    Selangor Darul Ehsan

    Nombor Telefon    : 03-6099 6000
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.