- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 25
SEMINAR KERJAYA SESI 2/2026: MENCORAK MASA DEPAN, MENCAPAI PELUANG
IKBN PERETAK, 10 Julai 2026 (Jumaat) – Unit Kerjaya dan Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah berjaya menganjurkan Seminar Kerjaya Sesi 2/2026 yang melibatkan seramai 130 orang pelajar semester akhir sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Seminar ini disertai oleh pelajar daripada Diploma Rekaan Fesyen Semester 6 dan Semester 5, Kursus Penyediaan Makanan Semester 4, Kursus Penyajian Semester 3, Kursus Jahitan Pakaian Wanita Semester 3, Kursus Perekaan Gaya Rambut Semester 3 serta Kursus Penyediaan Roti Semester 2.
Kesemua pelajar ini dijangka menamatkan pengajian pada penghujung Julai dan Disember 2026, sekali gus bakal memasuki dunia pekerjaan dan industri kemahiran. Program yang berlangsung di Auditorium IKBN Peretak ini merupakan program dwitahunan yang dianjurkan oleh Unit Kerjaya dan Kaunseling sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran pelajar mengenai hala tuju kerjaya, memperkukuh keyakinan diri, membina sikap profesional serta memberikan pendedahan awal terhadap peluang pekerjaan dan keperluan industri semasa.

Bagi menjayakan seminar ini, PERKESO Cawangan Klang dan Petaling Jaya telah dijemput sebagai rakan strategik untuk menyampaikan taklimat berkaitan Program MyFutureJobs serta Faedah Keselamatan Sosial PERKESO. Taklimat telah disampaikan oleh Puan Nur Izzaty binti Razali dengan bantuan Puan Nurul Hani Hidayah binti Mustafa Maarof dan Puan Nurul Shafinaz binti Mohd. Rodzmin. Para peserta turut didedahkan kepada kaedah pencarian pekerjaan melalui platform MyFutureJobs, kepentingan perlindungan keselamatan sosial, peluang penempatan pekerjaan serta pelbagai inisiatif yang disediakan oleh PERKESO bagi membantu graduan memasuki pasaran kerja.
Penganjuran seminar ini diharapkan dapat melahirkan graduan IKBN Peretak yang lebih bersedia, berdaya saing dan berkeyakinan tinggi dalam menghadapi cabaran alam pekerjaan. Selain memperkukuh pengetahuan berkaitan pembangunan kerjaya, program ini turut memberi motivasi kepada para pelajar untuk merancang masa depan dengan lebih sistematik serta merebut peluang kerjaya yang tersedia selaras dengan keperluan industri negara.