- Mohd Zul Bin Badru
- IKBN Seri Iskandar
- Hits: 147
PELAJAR DAN KAKITANGAN IKBN SERI ISKANDAR HANGATKAN HARI SUKAN NEGARA 2025 PERINGKAT KEBANGSAAN
Ipoh, 11 Oktober 2025 – Semangat kesukanan dan gaya hidup aktif kembali menyemarak di seluruh negara dengan pelancaran Hari Sukan Negara (HSN) 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung meriah di Dataran Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh, Perak. Buat julung kalinya diadakan di luar Lembah Klang, sambutan tahun ini berjaya menarik ribuan peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.
Majlis pelancaran gilang-gemilang ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim. Kehadiran beliau disambut dengan penuh semangat oleh orang ramai yang telah berkumpul sejak awal pagi untuk menyertai pelbagai aktiviti yang diaturkan.
Turut menyerikan majlis ialah Menteri Besar Perak, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, serta barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri dan pengurusan tertinggi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).
Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri menekankan kepentingan menjadikan sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sambutan HSN 2025 yang berlangsung selama tiga hari dari 10 hingga 12 Oktober ini dipenuhi dengan pelbagai pengisian menarik untuk semua peringkat umur. Antara aktiviti yang diadakan termasuklah Larian Ria Madani, acara berbasikal, pickleball, pound fit, senamrobik, bola jaring, sukan tradisional dan banyak lagi.
Tidak ketinggalan untuk memeriahkan sambutan ini adalah pasukan dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar. Seramai 20 orang kakitangan dan pelajar telah turut serta dalam program HSN 2025.
IKBN Seri Iskandar turut menghantar dua pasukan daripada Sekretariat Rakan Muda (SRM) untuk menyertai acara "Explorace Rakan Muda". Penyertaan aktif ini menunjukkan komitmen dan sokongan padu warga IKBN dalam menjayakan agenda sukan negara.
Penganjuran HSN Peringkat Kebangsaan di Ipoh ini dilihat sebagai satu kejayaan besar dalam usaha kerajaan untuk meluaskan pembudayaan sukan ke seluruh pelusuk negara, selaras dengan tema "Malaysia Aktif".
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
TeamKBS#KitaSemuaTeamMAS#MalaysiaMADANI#RancakkanMADANI#MADANIBekerja
#ilkbs#ikbnseriiskandar#ikbnsicemerlang#bhepikbnsip#tvetmalaysia#tvetperak #masadepankemahiran#transformasipendidikan#talentperak #HSN2025 #HSNPerak2025 #MalaysiaAktif
