- Muhamad Akram bin Mazalan
- IKBN Tanah Merah
- Hits: 16
28 BEG DARAH BERJAYA DIKUMPUL, WARGA IKBN TANAH MERAH BUKTIKAN BELIA PRIHATIN
TANAH MERAH, 17 Ogos 2026 – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tanah Merah dengan kerjasama Jabatan Patologi dan Transfusi Darah, Hospital Tanah Merah telah berjaya melaksanakan Kempen Derma Darah di Institut Kemahiran Belia Negara Tanah Merah buat kali kedua tahun 2026 bertempat di Dewan Serbaguna, IKBN Tanah Merah, hari ini.
Kempen yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini merupakan salah satu usaha berterusan dalam membantu memastikan bekalan darah di Hospital Tanah Merah sentiasa mencukupi dan berterusan bagi memenuhi keperluan perubatan pesakit khususnya dalam situasi kecemasan serta rawatan kritikal. Sambutan kepada kempen ini sangat positif dan menggalakkan daripada warga IKBN Tanah Merah terdiri daripada pelajar, pegawai dan kakitangan institut termasuk pengajar TVET-i yang turut serta dalam kempen ini. Hasil daripada kempen tersebut, sebanyak 28 beg darah berjaya dikumpulkan untuk disalurkan bagi membantu memenuhi keperluan bekalan darah di Hospital Tanah Merah.
Penganjuran kempen ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan warga IKBN Tanah Merah terhadap keperluan kesihatan masyarakat, malah turut menyemai nilai kemanusiaan, kesukarelawanan dan sikap prihatin dalam kalangan warga institusi khususnya para pelajar yang masih bergelar belia.
Pihak IKBN Tanah Merah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Patologi dan Transfusi Darah, Hospital Tanah Merah atas kerjasama dalam menjayakan kempen ini, serta kepada semua warga IKBN Tanah Merah yang tampil menderma darah dan memberikan sokongan kepada usaha murni tersebut.
Semoga sumbangan yang diberikan melalui kempen ini dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan serta menjadi pemangkin kepada pembudayaan amalan menderma darah secara berterusan dalam kalangan warga IKBN Tanah Merah dan masyarakat setempat.
