- Nor Hanifah binti Sukardi
- IKSN Kuala Langat
- Hits: 10
PENGLIBATAN IKSN DALAM PROGRAM RAKAN LITAR TRACKDAY BERSAMA JBSN
SEPANG - Program Rakan Litar Trackday Bersama JBSN telah berlangsung dengan jayanya di Petronas Sepang International Circuit pada 14 Jun 2026, bermula dari jam 8.00 pagi hingga 7.00 petang.
Program yang dianjurkan oleh Kelab Sukan Bermotor Battle Of Speed Sepang dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) ini bertujuan memperkukuhkan jaringan kerjasama dalam kalangan komuniti sukan permotoran serta menyediakan platform kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang tersebut.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program, antaranya sesi ujian jentera persendirian di dalam litar, latihan simulator, pameran automotif serta Auto Show yang menampilkan pelbagai jenis kenderaan dan modifikasi terkini. Aktiviti-aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk merasai pengalaman sebenar suasana perlumbaan di litar bertaraf antarabangsa di samping meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan dan teknologi dalam sukan permotoran.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang telah menyempurnakan upacara penutupan program. Program diakhiri dengan sesi bergambar sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan penganjuran program tersebut.
Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat terus menyokong pembangunan bakat belia dalam bidang sukan permotoran serta mengukuhkan ekosistem sukan bermotor negara selaras dengan aspirasi pembangunan belia dan sukan negara.
#ILKBS
#TeamKBS
#TeknologiSukanPermotoran
#IKSN
#ProfessionalTerunggul
#TVETILKBS
#MalaysiaMADANI
