IKTBN ALOR GAJAH ANJUR PROGRAM 'CAREER LAUNCHPAD', PERKASA KEBOLEHPASARAN GRADUAN TVET

    IKTBN ALOR GAJAH ANJUR PROGRAM 'CAREER LAUNCHPAD', PERKASA KEBOLEHPASARAN GRADUAN TVET

    ALOR GAJAH, 30 Jun – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah menganjurkan Program Preparing For Success: Career Launchpad & Alumni Engagement bagi memperkukuh kesiapsiagaan pelajar mendepani alam pekerjaan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET.

    Program yang dilaksanakan secara hibrid itu menggabungkan kehadiran fizikal di kampus IKTBN Alor Gajah serta penstriman dalam talian menerusi aplikasi Google Meet. Pendekatan interaktif ini berjaya menarik penglibatan meluas para pelajar merentasi beberapa institusi ILKBS lain termasuk IKTBN Bachok, IKBN Miri, dan IKBN Bandar Penawar.

    Sesi pengisian dimulakan dengan segmen PERKESO – Career Launchpad yang memfokuskan kepada taklimat pengenalan agensi dan pendaftaran portal MYFutureJobs. Para peserta turut didedahkan dengan modul penyediaan resume profesional, panduan penampilan diri (career grooming), serta teknik menghadiri temu duga berkesan yang dikendalikan oleh Cik Michal A/P Michael Pushparaj Doss dan Puan Wann Huzida Roza binti Husin.

    Program diteruskan dengan sesi Alumni Engagement bertajuk “Hospitality Careers Without Borders: Mastering Hot Kitchen with Quality and Halal Standards”. Segmen ini menampilkan alumni IKTBN Alor Gajah yang kini berkhidmat sebagai Chef di M Hotel Singapore, Encik Muhammad Nazrin bin Abdul Razak selaku penceramah jemputan, dengan dibantu oleh Puan Anne Musliana Mustapa sebagai moderator.

    Majlis telah diakhiri dengan ucapan penutupan rasmi oleh Pengarah IKTBN Alor Gajah, Puan Hajjah Nor Azah binti Ahmad Dahalan. Beliau menegaskan bahawa program seumpama ini merupakan platform serantau yang penting dalam melahirkan graduan TVET, khususnya dalam bidang hospitaliti yang berkemahiran, berdaya saing, serta bersedia memenuhi standard keperluan industri di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
     

    Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Alor Gajah
    KM 34, Jalan Masjid Tanah,
    78300 Masjid Tanah, Melaka
    Malaysia

    No Tel : +606-385 1255
    Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.