- Nur Sarina binti Khairruddin
- IKTBN Alor Gajah
- Hits: 21
PROMOSI PROGRAM PENGAJIAN SEMPENA FESTIVAL BELIA @ HARI BELIA NEGARA 2026 PERINGKAT NEGERI MELAKA
JASIN, 28 Jun – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah mengambil langkah proaktif mendekati komuniti dengan menyertai Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Stadium Jasin, di sini hari ini. Penyertaan tersebut bertindak sebagai platform strategik bagi memperkenalkan barisan program pengajian sepenuh masa dan separuh masa kepada masyarakat awam, khususnya golongan belia yang berminat untuk menceburi bidang latihan kemahiran berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Festival berimpak tinggi yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Dato' Seri Utama Ab Rauf Yusoh. Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Negeri Melaka, YB Datuk Khaidirah Abu Zahar.
Sepanjang festival berkenaan, reruai pameran IKTBN Alor Gajah dibuka bermula pagi hingga ke malam bagi menyalurkan khidmat nasihat secara langsung mengenai syarat kemasukan, laluan kerjaya, kemudahan prasarana pembelajaran, serta prospek kerjaya masa hadapan. Pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik serta pameran interaktif yang mengetengahkan ekosistem TVET semasa.
Komitmen berterusan dalam aktiviti promosi ini mencerminkan kesungguhan IKTBN Alor Gajah untuk memperkasakan agenda latihan kemahiran negara, sekali gus menarik minat lebih ramai modal insan muda tempatan untuk memilih TVET sebagai pilihan utama kerjaya mereka.
