- Nur Sarina binti Khairruddin
- IKTBN Alor Gajah
- Hits: 11
IKTBN Alor Gajah Terima Pensijilan EKSA Cemerlang, Bukti Budaya Kerja Berkualiti
PUTRAJAYA| 12 Jun 2026 – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah terus melakar sejarah tersendiri apabila berjaya dianugerahkan Pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Gred Cemerlang. Pengiktirafan berprestij tersebut telah disampaikan oleh Dato' Rahimi Ismail sempena Majlis Perhimpunan Mesra Bulanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi bulan Jun yang berlangsung hari ini.
Sijil kecemerlangan tersebut telah diterima secara rasmi oleh Pengarah IKTBN Alor Gajah, Puan Nor Azah Ahmad Dahalan. Anugerah ini simbolik kepada komitmen berterusan serta kesungguhan seluruh warga institut dalam membudayakan persekitaran kerja yang kondusif, sistematik, dan berimej korporat. Mengulas mengenai kejayaan tersebut, pihak pengurusan IKTBN Alor Gajah menzahirkan ucapan penghargaan khusus kepada En. Mohd Azral Osman selaku penyelaras program, serta jawatankuasa induk yang menerajui pelaksanaan EKSA di institut berkenaan. Kerjasama padu dan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh semua kakitangan menjadi tunjang utama kepada pencapaian gred cemerlang ini.
Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin semangat dan penanda aras baharu bagi warga IKTBN Alor Gajah untuk terus mengekalkan budaya kerja kelas pertama, sekali gus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan demi kecemerlangan institusi pada masa hadapan.
