- Nur Sarina binti Khairruddin
- IKTBN Alor Gajah
- Hits: 37
Kuasai Inovasi Pastri Moden: Tenaga Pengajar IKTBN Alor Gajah Sertai Kursus Lanjutan Di Bangi
BANGI — Seramai 10 orang tenaga pengajar bidang Penyediaan Pastri daripada lima Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) telah menyertai Kursus Critical Thinking Skills for Innovation and Entrepreneurial in Pastries and Confectioneries, baru-baru ini.
Kursus berimpak tinggi yang berlangsung selama empat hari bermula dari 10 hingga 13 Ogos lalu itu telah diadakan bertempat di Dulcens Baking Academy, Bangi.
Inisiatif latihan peningkatan kemahiran (upskilling) ini dihadiri oleh barisan tenaga pengajar daripada institusi strategik termasuk IKTBN Alor Gajah, IKTBN Bachok, IKBN Kemasik, IKBN Bandar Penawar, dan IKBN Miri.
Program ini dirangka khusus untuk menerapkan elemen pemikiran kritikal dalam aspek inovasi produk reka cipta pastri, di samping menyuntik nilai keusahawanan bagi memastikan silabus pengajaran TVET sentiasa berdaya saing dan relevan dengan industri komersial.
Sepanjang kursus dijalankan, para peserta telah didedahkan dengan modul latihan intensif yang dibahagikan kepada tiga slot utama bersama pakar industri:
- Slot Competition Excellence: Dikendalikan oleh Chef Farouk Othman yang memfokuskan kepada persediaan dan standard kecemerlangan dalam pertandingan reka cipta kulinari.
- Slot Sourdough and Modern Viennoiserie: Dibimbing oleh Chef Mohamad Zamri Idris yang mengetengahkan teknik pembuatan roti moden dan pastri berlapis.
- Slot Pastry Innovation: Dipimpin oleh Chef Najihah Salwana Sanusi yang memfokuskan kepada penciptaan produk pastri kreatif berasaskan trend pasaran global.
Pendedahan secara langsung daripada barisan pakar ini diharap dapat meningkatkan kompetensi para pengajar ILKBS untuk melatih modal insan TVET negara yang kreatif, mahir, serta bersedia menjadi usahawan dalam bidang hospitaliti masa hadapan.
